SGB

SGB
Suara Generasi Baru

Pengikut Teman

Rabu, 29 Mei 2013

WAJIB BACA!! Demi rakyat, tiada lagi kompromi - Dato Taj

WAJIB BACA!! Demi rakyat, tiada lagi kompromi - Dato Taj


ADAKAH pakatan pembangkang cuba menyembunyikan sesuatu di sebalik penganjuran siri demonstrasi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13? Inilah yang sepatutnya disemak dan diteliti oleh seluruh rakyat Malaysia.

Di sebalik kononnya UMNO dan BN diuar-uarkan pakatan pembangkang ditolak oleh 'rakyat', itu kata pembangkang, seluruh negara dan dunia melihat hakikatnya majoriti rakyat Malaysia mahukan BN terus berkuasa.

Realitinya kalau kita boleh melihat atas kertas, Anwar Ibrahim sendiri dipercayai dalam keadaan gundah-gulana. Sepatutnya dia melunaskan hutang janjinya untuk berundur kerana gagal menawan Putrajaya selepas PRU-13. Ini dia pusing 360 darjah. Licik sungguh permainannya.

Apa yang dilakukannya ini lebih kepada keinginan peribadi berbanding kepentingan rakyat. Anwar tidak mempedulikan sesiapa, apatah lagi laporan The Edge yang mana 81 peratus pembaca akhbar itu mahu dia bersara kerana gagal membentuk Kerajaan Pusat.

Bancian yang melibatkan 12,588 orang itu menunjukkan 10,275 orang mahu Anwar mengotakan janji untuk bersara. Ini berdasarkan kenyataan Ketua Umum PKR itu dalam video ucapannya pada 17 Ogos 2012 yang dia akan berundur daripada politik dan memilih menjadi pensyarah jika rakyat masih memberi mandat kepada BN pada PRU-13.

Tetapi mengapa tiba-tiba menukar pendirian dan kemudian mendakwa pula PRU-13 penuh penipuan dan kononnya akan terus memperjuangkan 'hak rakyat' menuntut pilihan raya 'adil dan bersih'.

Dan ini sudah tentu mendapat sokongan besar daripada DAP yang memiliki kerusi pembangkang terbanyak untuk membolehkan semua pihak 'melupakan terus' tanda tanya pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

DAP bukan saja janggal dan luar biasa, malah menimbulkan banyak persoalan. Pemilihan CEC DAP sudah selesai dan perwakilan balik tetapi selepas itu umum ada kesilapan, yang menang 'dikalahkan', yang 'kalah' dimenangkan.

Benar-benar ini drama 'keluarga 69'. Tapi apabila disuakan isu ini kepada Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, pandai pula dia 'bersilat'.

Sebenarnya, isu pemilihan CEC ini satu perkara besar. Ia melibatkan persoalan integriti dan kredibiliti DAP. Bayangkan kalau DAP ini perintah negara, apa akan jadi dalam isu kepimpinan dan ditambah lagi dengan 'janji-janji palsu' yang dicanangkan Anwar.

Dan kerana itu sekarang adalah masa yang tepat dan sesuai untuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi memberi sebarang amaran kepada mana-mana pihak yang merancang mahu mencetuskan huru-hara. Sebaliknya terus bertindak secara tegas.

Kita sudah bosan dan jengkel dengan amaran-amaran yang dikeluarkan kerajaan sebelum ini. Seolah-olah nampak agak tunduk kepada pihak-pihak ini.

"Apa yang disuarakan oleh Zahid adalah suara rakyat termasuk sebilangannya yang menjadi silent majority.

"Isu ini serius kerana melibatkan sabotaj ekonomi," tegas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman kepada penulis ketika ditemui di Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Salak itu, Ahmad Zahid tidak berseorangan dalam perkara ini. "Ini bukan kenyataan angkuh tetapi kenyataan tegas daripada seorang pemimpin yang berani menghadapi apa jua cabaran selepas ini.

"Zahid mewakili suara majoriti rakyat yang sudah muak dengan perilaku jenis manusia ini yang mengganggu urusan seharian rakyat untuk bekerja, berniaga, ke sekolah dan ke masjid dan rumah-rumah ibadat," kata beliau.

Kata Tajuddin: "Sepatutnya sudah tiada sebarang kompromi dengan pihak berkenaan khususnya pemimpin pembangkang yang sedang menghasut rakyat turun ke jalanan untuk menggulingkan kerajaan BN. Ini bukan demonstrasi biasa...ini cubaan nak gulingkan kerajaan."

Dalam soal ini, Tajuddin mengingatkan Ahmad Zahid supaya benar-benar bertindak seperti mana yang diungkapkannya.

"Jangan esok orang tempelak balik bahawa kita memang tidak berupaya untuk mengambil tindakan. Cukup-cukuplah kita bersabar dengan perbuatan mereka. Mereka ini tidak akan puas hati melainkan diisytiharkan menang dalam pilihan raya tempoh hari," katanya.

Pada masa sama, Tajuddin berkata, untuk membuktikan ketegasan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara perlu menyusuli dengan tindakan yang tegas. Ini dilakukan dengan menahan mereka yang cuba mencetuskan huru-hara sebelum menghadapkan ke muka pengadilan.

"Kita hendakkan tindakan yang maksimum dan boleh menjadi pengajaran," katanya.

Demikian juga dengan institusi kehakiman yang menurut Tajuddin: "Walaupun kita tidak boleh campur urusan kehakiman, pihak hakim pada pandangan saya pun manusia biasa. Tidak salah kita beri nasihat kepada hakim.

Kata Tajuddin: "Kes-kes sebegini (cuba menghasut dan menggulingkan kerajaan) yang dibawa ke muka pengadilan, para hakim hendaklah mengambil kira kesalahan berat yang menjejaskan ketenteraman awam dan menyusahkan rakyat setempat.

"Jika merebak ke peringkat nasional pula lebih dahsyat kesannya. Ia sama ada disengajakan untuk mensabotaj ekonomi, dengan impaknya kepada rakyat akan terjejas kehidupan mereka, maka tindak tanduk pembangkang ini tidak boleh dibiarkan sama sekali," kata beliau.

Dan sesuatu yang amat membimbangkan serta mengecewakan Tajuddin ialah: "Kita dapati perhimpunan membantah PRU-13 yang pembangkang anjurkan ini disertai dan dimeriahkan oleh satu-satu kaum sahaja.

Ini jelas fenomena tidak sihat di Malaysia dan jika ditafsirkan mengikut pemahaman seseorang boleh mengundang perpecahan antara kaum.

"Daripada membiarkan, eloklah kita mencegah. Dan jelas, kenyataan Zahid muncul kena pada masa dan tempatnya," kata Tajuddin menutup bicara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan