PEMILIHAN UMNO : Jawatan Tertinggi.. Cermin Diri Dahulu!! - Syed Ali Al-Habshee
KUALA LUMPUR 17 Jun - Ahli UMNO yang mahu merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti diminta 'cermin diri' terlebih dahulu jika menganggap mereka lebih berkelayakan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali al-Habshee berkata, perlembagaan parti sememangnya tidak menghalang mereka berbuat demikian dan membenarkan mendaftarkan nama masing-masing untuk bertanding kerana UMNO mengamalkan prinsip demokrasi.
Namun, jelas beliau, jika ingin melihat parti terus utuh dan dihormati, maka tidak ada sebab dua jawatan itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
"Perdana Menteri dan timbalannya merupakan gandingan baik sehingga berjaya menambah bilangan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dan berjaya mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO.
"Kita serah kepada akar umbi, saya sebagai pemimpin di peringkat atasan hanya boleh menasihatkan kalau ada perkara besar yang perlu kedua-dua pemimpin itu ditukar, tidak ada masalah untuk dipertandingkan, tetapi jika tidak ada, mengapa perlu dipertandingkan?,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Baru-baru ini, Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO hujung tahun ini bagi memastikan kekuatan parti terus utuh.
Cadangan itu mendapat sokongan beberapa pemimpin tertinggi UMNO seperti Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Turut menyokong cadangan itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar bagi memastikan perpaduan dalam kalangan ahli serta pemimpin UMNO terus kuat terutama untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan