SGB

SGB
Suara Generasi Baru

Pengikut Teman

Sabtu, 9 Mac 2013

WAJIB BACA!! MB Perak Sambut Kepulangan Dua Wira Negara @ZambryAbdKadir

WAJIB BACA!! MB Perak Sambut Kepulangan Dua Wira Negara




Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyambut kepulangan dua anggota Pasukan Gerak Khas 69 (VAT 69) Ulu Kinta yang cedera semasa insiden pencerobohan pengganas di Lahat Datu , Sabah petang tadi.

Dr Zambry menyambut kedua wira negara itu sebaik pesawat Udara PDRM yang membawa mereka mendarat di Lapangan Terbang Pusat Latihan Polis Udara PDRM, Ipoh pada kira-kira jam 5.43 petang.

Dr Zambry yang diiringi Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan Exco Kesihatan, Dato’ Dr Mah Hang Soon serta pegawai kanan PDRM dan Tentera dibawa menemui kedua anggota polis itu sebelum mereka dipindahkan ke Hospital Tuanku Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan lanjut.

Bercakap kepada pemberita di lapangan terbang itu, Dr Zambry mengulangi kenyataannya bahawa kerajaan negeri Perak telahpun melancarkan satu dana bagi membantu anggota-anggota pasukan keselamatan yang cedera dan terkorban dalam operasi Daulat di Lahat Datu dan Semporna, Sabah.

"Yang penting bukan sumbangan material tetapi untuk masa depan anak-anak mereka dan saya telah meminta pihak berkuasa negeri merancang sesuatu untuk masa depan mereka.

"Bagi anggota pasukan keselamatan yang cedera kita akan membantu mereka,’’ kata Menteri Besar.

Sehubungan dengan itu beliau meminta semua pihak menyatakan semangat patriotisma tidak kira kepada negara tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

"Paling penting negara berada dalam keadaan diserang oleh satu gerombolan yang tidak bertanggungjawab maka kita tunjukkan kesetiaan kita kepada negara dan berbangga dengan semangat juang para anggota polis dan tentera,’’ katanya.

Dr Zambry juga meminta jangan ada pihak yang mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dengan mengambil kesempatan untuk meraih kepentingan politik.

"Sepatutnya mereka ketepikan kepentingan politik kerana ini merupakan persoalan kedaulatan negara dan kita seharusnya merasa sedih dengan anggota-anggota pasukan keselamatan yang telah gugur semasa mempertahankan kedaulatan negara,’’ katanya.

Sementara itu Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, kedua anggota VAT 69 itu telah diterbangkan dari Lahat Datu pada pukul 8 pagi dengan pesawat PDRM sebelum singgah di Sungai Besi dan seterusnya diterbangkan ke Lapangan Terbang Pusat Latihan Udara PDRM Ipoh.

"Mereka ini akan menerima rawatan lanjutan di Hospital Tuanku Permaisuri Bainun sekaligus membolehkan keluarga mereka berulang untuk melawat mereka,’’ katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Dato’ Seri Dr Zambry kerana menyambut kepulangan dua wira negara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan