PANAS TERIK!! Hadi dicabar keluarkan fatwa BR1M haram..
MUAR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sama ada berani mengeluarkan fatwa mengharamkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh turut mencabar pemimpin tertinggi PAS itu mengeluarkan satu lagi fatwa bahawa mereka yang menerima BR1M juga haram.
"Jika mereka tidak haramkan ini bermakna apa yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah kerja amal dan untuk membantu rakyat supaya lebih sejahtera, bahagia, dan boleh gunakan bantuan itu untuk menguruskan keperluan keluarga mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menghadiri majlis penyampaian BR1M untuk orang bujang (RM250 seorang) di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang Datuk Tahir Taat.
Muhyiddin mengulas kenyataan Hadi dalam konvensyen pakatan pembangkang di Shah Alam, Selangor hari ini yang mengibaratkan pemberian BR1M sama dengan amalan di zaman Firaun yang menggalakkan rakyat bergantung kepada kerajaan dan membuat rakyat hidup seperti pengemis.
"Saya tahu bahawa ia bukan hukum bertentangan akidah, menyalahi syariat agama, saya tak tahu dua tokoh agama ini (Abdul Hadi dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) boleh keluar kenyataan bercanggah dengan agama, kata perjuangkan Islam.
"Apakah mereka akan minta penyokong dan ahli mereka untuk pulangkan wang bantuan, sanggupkah mereka buat fatwa atau menghukum penerima harus pulangkan balik, ia perbuatan haram, bagi kita ia tidak bertentangan," katanya.
Katanya ramai tokoh agama dan yang tidak berpengaruh lebih rasional dan bersandar dengan syariat berhubung soal itu. Bagi kerajaan katanya, pemberian BR1M ini adalah satu amalan baik sebab ia dapat membantu kumpulan sasar dengan lebih tepat terutama yang memerlukan bantuan seperti ini.
"Bagi kita ia amalan yang baik...sebab ada negara buat ini, menjurus kepada kumpulan sasar amat perlukan bantuan ini.
"Melalui transformasi nasional yang kita lakukan, kita kumpul data dan maklum balas daripada rakyat pendapatan kecil, sederhana, nyatakan bagaimana kerajaan dapat bantu. Atas dasar prihatin kita bantu," katanya.
Sebelum itu dalam ucapan beliau, Muhyiddin berkata PAS tercabar dengan tindakan BN memberikan BR1M dan jelas menunjukkan parti itu lebih mengutamakanpolitik kepartian daripada kebajikan rakyat.
"Beliau (Nik Abdul Aziz) kata kita beri BR1M macam bagi ayam makan, bagi lembu makan, adakah kita ini sama seperti binatang?" katanya.
Katanya, BR1M adalah satu amalan murni dan usaha kerajaan untuk membantu rakyat miskin yang amat memerlukan bantuan, sekali gus mampu memperbaiki kualiti hidup dan mengurangkan bebanan rakyat.
"Hal ini menyebabkan pembangkang risau anak muda akan menyokong BN. Orang lama akan terus menyokong BN sebab bantuan berterusan, kerana itu mereka tercabar dan keluar kenyataan yang tidak sepatutnya datang dari seorang ulama," katanya.
Katanya orang Melayu terutamanya cukup faham dengan perumpamaan yang digunakan oleh Mursyidul Am PAS itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan