Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
AYER HITAM - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata tiada sebab untuk kerajaan sedia ada ditukar kerana kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) ini sudah terbukti membela nasib rakyat dan membangunkan negara.
  
Timbalan pengerusi Barisan Nasional itu berkata beliau hairan mengapa pembangkang sentiasa berusaha untuk menghancurkan BN sedangkan dasar yang dibawa BN sudah terbukti berjaya memajukan negara.
  
"Pembangkang kata BN sudah lama sangat, dah tua sangat...(sebenarnya) parti kita masih kuat, masih tegap dan berupaya," katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama rakyat dan pelancaran jentera pilihan raya kawasan parlimen Ayer Hitam, di sini hari ini.
  
Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, anggota parlimen Ayer Hitam Datuk Dr Wee Ka Siong serta anggota dewan undangan negeri Semarang merangkap Ketua BN Ayer Hitam Datuk Samsolbari Jamali.
   
Muhyiddin menegaskan bahawa kerajaan BN juga tidak zalim seperti yang dicanang pembangkang memandangkan rakyat di negara ini menikmati kehidupan selesa dan mengecapi pembangunan yang pesat.
   
Beliau berkata kerajaan sentiasa menyalurkan pelbagai bantuan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selain dalam masa yang sama sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.
  
"BN tidak pernah menipu rakyat, tetapi apa yang nyata, kita sudah buat pelbagai perkara sejak 56 tahun lepas sehingga rakyat mendapat kehidupan lebih baik," tegas beliau.
  
Katanya jika rakyat di sesetengah negara hidup susah, lapar, tiada peluang pekerjaan, tidak cukup makanan, tetapi di Malaysia makanan melimpah ruah dan hidup mewah.
  
Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk membina masjid di Institut Veterinar dan RM300,000 untuk membaik pulih Masjid Sri Lalang di sini. - Bernama