Pakatan Tiada Program Bangunkan Melayu - Pemuda UMNO
Tun Faisal Ismail Aziz - Exco Pergerakkan Pemuda UMNO Malaysia |
SHAH ALAM: Exco Pemuda Umno Tun
Faisal Ismail Aziz mencabar Pakatan Rakyat agar membentangkan
perancangan atau program yang akan dilaksanakan gabungan tiga parti
komponen itu untuk membangunkan orang Melayu sekiranya berhasrat
mengambil alih pentadbiran Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) pada
pilihan raya umum akan datang.
Tegas Tun Faisal, kepentingan dan kedudukan orang Melayu harus diberi keutamaan dalam mana-mana polisi kerajaan, lebih-lebih lagi, Pakatan yang dianggotai PAS-PKR-DAP tidak pernah membentangkan sebarang perancangan untuk pembangunan orang Melayu, yang merupakan kaum terbesar.
"Dalam konteks ini pada saya bukan soal batang tubuh Melayu itu tapi soal polisi yang hendak dipertahankan dan dikeluarkan, kalau betul pembangkang ada polisi untuk bangunkan orang Melayu, di mana polisi ini?
"Adakah polisi ini jauh sangat berbeza dengan apa yang kita ada? Ini yang perlu kita soal kepada pakatan pembangkang.
"PAS misalnya kata tidak gila kuasa, kalau gila kuasa tentu bergabung dengan Umno maka terbentuk satu kuasa Melayu. Maksudnya PAS buat keputusan untuk bergabung dengan DAP dan PKR dalam keadaan yang merugikan mereka...mereka tidak dapat apa-apa, lagi teruk," katanya pada program Diskusi Meja Bulat "Melayu Pasca PRU 13?" anjuran Antarapos.
Selain Tun Faisal, turut menjadi ahli panel untuk program ini adalah Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Khalid Abdul Samad.
Menurut Tun Faisal, perjanjian pengisytiharan dibuat Pakatan boleh menimbulkan pelbagai keraguan dan persoalan terutamanya tentang alasan parti-parti tersebut untuk menjalinkan kerjasama politik.
"Akhinya bila PAS buat perjanjian yang merugikan mereka, kalau katalah ada wakil dalam Parlimen yang batang tubuhnya Melayu, pegangannya belum tentu Islam, dasar yang dibawa mungkin sosialis, bentuk macam manakah dasar yang akan dibawa dalam Parlimen?
"Ini kita kena persoalkan kepada PAS dan PKR, mungkin dia nak bawa dasar Islam tapi kalau didominasi dengan orang yang bawa dasar sosialis di mana pertemuan dalam Parlimen nanti," katanya.
Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sepanjang tempoh tiga tahun pentadbirannya telah membawa pelbagai program transformasi untuk meringankan beban rakyat.
Antaranya, dengan penubuhan 50 Klinik Rakyat 1Malaysia dengan kos RM10 juta.
Tun Faisal yang juga Pengerusi Unit Media Baru Pemuda Umno berkata kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pemimpin Pakatan seolah-olah membayangkan keyakinan mereka namun keadaan sebenar adalah sebaliknya.
"Kalau dalam pakatan pembangkang dia punya cerita di atas kertas nampak menyakinkan tapi sebenarnya bila lihat pemimpin seorang demi seorang nampak tidak menyakinkan dan pemimpin dalam Pakatan ada masalah moral yang tersendiri.
"Yang kedua kita dalam kerajaan BN apa yang dilakukan selain 50 tahun itu adalah kebajikan secara menyeluruh sebab itu dalam rakyat Malaysia kita lihat pembangunannya nampak setara, ada negara-negara yang merdeka lebih awal tidak mencapai kemajuan seperti kita," katanya.
Beliau menambah pelan transformasi yang dilaksanakan pentabiran Najib telah memberikan kesan positif terhadap perubahan yang ingin dibawa parti pemerintah itu.
"Transformasi yang dibawa Datuk Seri Najib dirasa sampai ke bawah, macam sekarang bermula dengan Umno sendiri, NKRA terhadap rasuah ini antara perkara yang menunjukkan kerajaan komited untuk mengambil tindakan terhadap pesalah kes rasuah.
"Ini menunjukkan BN berubah dan kita punya masalah sekarang adalah menguruskan kejayaan-kejayaan kita sebab dalam kejayaan ada individu yang tamak, individu yang melanggar peraturan tapi secara keseluruhanya kita berjaya," katanya.
Krisis keyakinan
Tun Faisal turut mendakwa Pakatan kini berdepan dengan masalah untuk menguruskan keyakinan susulan daripada tindakan beberapa pemimpin parti itu bertindak keluar kerana tidak yakin dengan kepimpinan sedia ada termasuk bekas Pesuruhjaya PAS Datuk Hasan Ali yang dipecat keanggotaannya.
"Masalah dalam pakatan pembangkang adalah masalah untuk menguruskan keyakinan, dalam Pakatan sendiri dah berapa ramai pemimpin keluar kerana tidak yakin dengan pemimpin sedia ada... Dr Hasan Ali tidak berapa yakin sebab dalam negeri Selangor dia rasa apa yang diperjuangkan PAS tidak boleh dibawa dalam dasar, pelaksanaannya dan sebagainya.
"Yang rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim ramai yang sudah keluar, ini menunjukkan Pakatan hadapi krisis keyakinan yang hebat," katanya.
Beliau berkata Pakatan perlu memperbaiki setiap kelemahan yang ada sebelum menyatakan hasrat untuk menawan Putrajaya.
"Jadi kalau kita nak bergandung harap kepada Pakatan pada waktu ini saya rasa belum lagi. Pakatan kena betulkan dulu rumah ii, kena ada polisi yang kuat dan menyakinkan orang Melayu terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang barulah bila rasa nak beri kuasa baru kita berikan," katanya. -Antara Pos
Tiada ulasan:
Catat Ulasan