Jauhi sifat fanatik dan taksub
RIDHUAN TEE ABDULLAH
2 Julai 2012
PADA 24 Jun lalu, dengan niat baik, saya menerima jemputan menjadi panel Wacana Perdana PRU13: Masa Depan Islam, anjuran Kerajaan Negeri Kelantan, bersama dengan panel gandingan lain Dr Fadzli (Exco Kerajaan Negeri Kelantan), Ustaz Fathul Bari (ulama muda Umno), dan Dr Mohd Asri Zainal Abidin, dipengerusikan Amin Idris (TV9).
Apa yang mengejutkan adalah tingkah laku sebilangan hadirin yang membanjiri Balai Islam, Kota Bharu. Tingkah laku mereka yang tidak meraikan perbezaan, langsung tidak mencerminkan akhlak Islam.
Begitu mengejutkan! Saya dan Fathul Bari, seolah-olah tidak diberikan ruang untuk berhujah. Sedangkan kami hanya berkata benar. Isu partisan langsung tidak dibangkitkan, kecuali Dr Fadzli.
Apakah ini dinamakan fanatik atau taksub sehingga menyangka mereka betul, orang lain salah? Fanatik bermakna sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian yang biasanya berkaitan dengan keagamaan.
Sepatutnya berlapang dada dan fikiran serta sabar yakni tasamuh atau bertoleransi. Beberapa kali saya ingatkan, apabila berhujah, bincangkan perkara yang betul dan salah itu akan membawa kebaikan dan meningkatkan minda.
Bukannya menuding jari kerana ia hanya mengkerdilkan minda. Ingatlah wahai umat ku! Sikap fanatik dan taksub adalah dilarang ALLAH SWT terhadap umat terdahulu seperti yang ditujukan khas kepada Ahli Kitab.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Katakanlah, “Wahai Ahli Kitab! janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”. (Surah al-Ma’idah : 77)
Saya lihat ada sebahagian hadirin teramat taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahupun guru atau kumpulan mereka. Perbuatan mereka begitu melampau. Kejumudan pemikiran mereka begitu terserlah sehingga tidak mampu berbincang terutama dalam mengambil pendapat yang lebih kuat dalil dan alasannya.
Menurut Mohammad Kamil Majid (2011), taksub dan fanatik adalah sikap menutup pintu bagi pandangan lain yang berbeza dan berusaha untuk menidakkannya.
Sikap ini adalah pembawaan yang memandang hanya diri sendiri atau kumpulannya sahaja betul. Malah secara berani menuduh orang yang berlainan pendapat daripadanya sebagai jahil, bodoh, fasiq dan derhaka.
Sikap taksub dan fanatik ini dikutuk kerana ia mengikat orang lain dengannya dan menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain.
Fenomena ketaksuban juga berlaku apabila ada golongan yang mengkafirkan masyarakat secara menyeluruh; menghalalkan darah dan harta orang yang di luar jamaah; bersikap prasangka buruk kepada pihak lain; tuduh menuduh serta menghukum.
Kekerasan bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap batil dan melancarkan jihad terhadap sesiapa yang enggan menunaikan hukum Islam. Bagi saya, inilah sebenarnya yang menjadi punca kemunduran umat Islam kerana salah faham kalangan mereka terhadap akidah mereka.
Dalam hal ini, bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah itu yang salah. Di manakah sikap kesederhanaan (berimbang) atau wasatiyyah yang sepatutnya menjadi pegangan kita semua?
Maka benarlah kata kata Syaikh Al-Albani yang mengatakan, umat Islam masa kini, semakin jauh tersasar. Mereka hanya berpegang pada pendapat pemimpin mereka. Tatkala terjadi perselisihan, pendirian mereka pada dasarnya kembali kepada pemimpin mereka, jika ada ayat yang sesuai, mereka ambil, jika tidak, mereka sisihkan.
Saya ingatkan pimpinan negeri Kelantan, sebagai pemimpin umat Islam hari ini hendaklah berhati-hati dalammemimpin anak buahnya agar jangan sampai menjadi penyebab kerosakan umat. Mereka hendaklah takut kepada ALLAH SWT. Baca Surah Ibrahim : 21-22, Al-Ghafir : 47-48, dan As-Saba’: 31-33. Mudah-mudahan Allah SWT memberi petunjuk kepada kita semua, jadi pemimpin yang mengajak umat ke jalan benar dan hak, bukannya batil.
Bagaimanakah kita sebagai satu umat itu boleh maju ke hadapan, apatah lagi boleh memimpin umat Islam, jika kita asyik berpecah-belah sesama sendiri. Saling bermusuhan dalam perkara titik bengik dan hilang pertimbangan, kerana rasa fanatik dan taksub kepada pegangan dan ajaran masing-masing.
Kesimpulannya, mereka yang saya perkatakan ini sebenarnya keliru dan tidak boleh membezakan antara tugas pemerintah dengan tugas individu. Sayidina Abu Bakar RA memerangi orang yang tidak membayar zakat dan murtad adalah sebagai menjalankan tugas sebagai pemerintah. Pada peringkat individu mereka sepatutnya melakukan amar makruf nahi mungkar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan