Kepetahan Bukan Kriteria Utama Menjadi Pemimpin
- Jul 11, 2012 10:35:48.
Ketika
di sekolah dan di pusat pengajian tinggi, kita didedahkan kepada
‘debat’ untuk meningkatkan keyakinan diri serta melatih minda untuk
berfikir secara kritis. Sekali gus, membentuk keberanian dalam
menyatakan pendapat dan mempertahankannya dengan hujah-hujah yang
bernas. Maka, tidak dapat dinafikan bahawa debat boleh membentuk sikap
kepimpinan.
Hari ini, debat telah menjadi trend.
Debat di antara pemimpin-pemimpin politik sepertimana yang diamalkan di
Amerika mula menular ke Malaysia, negara dengan masyarakat yang suka
meniru apa saja. Namun, orang Malaysia kadangkala tidak tahu tujuan
sesuatu perkara itu dibuat dan hanya meniru secara buta tuli.
Masalah mengenai debat ahli-ahli politik
ini, yang menjadi tumpuan bukan isu sangat tetapi soal menonjolkan diri
dan mencari publisiti. Ini kerana, debat dilihat sebagai alat terbaik
untuk meningkat atau memulihkan populariti seseorang. Lihat sahaja
bagaimana puak-puak pembangkang masih menyorak yang Lim Guan Eng menang
debat dengan Chua Soi Lek sedangkan dari segi inti atau hujah Lim Guan
Eng ternyata kosong dan tidak berkredibiliti langsung.
Malang bagi sesebuah negara apabila
masyarakat gagal melihat bahawa kepetahan berdebat bukan bukti yang
seseorang itu mampu menjadi pemimpin yang baik. Kebanyakan tokoh-tokoh
pemimpin hebat yang terakam dalam sejarah bukanlah seorang pendebat yang
baik, tetapi pemikir yang serius di mana idea-idea mereka boleh dibaca
dalam buku-buku tulisan mereka.
Pemimpin yang petah bercakap selalunya
hanya mampu menaikkan semangat rakyat tetapi untuk tujuan yang kabur.
Sukarno, misalnya walaupun bijak meniupkan semangat tetapi akhirnya
kecundang juga kerana tidak mampu membentuk Indonesia yang sejahtera dan
makmur melalui kepetahannya bercakap. Malah, Idi Amin iaitu diktator
Uganda yang kejam juga adalah seorang yang petah bercakap dan mematahkan
hujah tetapi ternyata beliau menjadikan negaranya sebuah neraka dunia.
Sebaliknya, Ghandhi, Mandela, malah Tun
Dr. Mahathir sendiri yang telah diiktiraf sebagai pemimpin bertaraf
dunia walaupun lantang dan berani, tetapi mereka bukanlah pendebat.
Idea- idea mereka dapat dibaca, dilihat, dirasai dan disentuh dan bukan
didengar di pentas debat.
Sudah menjadi kelaziman bagi manusia
yang petah bercakap itu untuk kurang berfikir dan kurang bekerja. Malah
Islam juga tidak menggalakkan kita lebih bercakap kerana ia mampu
mengalpakan, selain menambahkan dosa. Kerana itulah tokoh-tokoh agung,
lebih banyak mendengar, berfikir dan bekerja, daripada bercakap.
Hakikatnya, petah bercakap bukanlah
kriteria utama seorang pemimpin yang baik. Jika kita ingin mencari
pemimpin dengan cara menilainya berdebat maka kita mungkin akan membuat
kesilapan sebagaimana Indonesia telah tersilap dengan Sukarno, Uganda
tersilap dengan Idi Amin atau Filipina tersilap dengan Estrada, seorang
pelakon yang bijak menarik hati ramai dengan bercakap. Jika pendebat
boleh menjadi pemimpin, maka tentu ramai sekali budak-budak Universiti
termasuk para graduan separuh masak, yang boleh diletakkan di kerusi
Perdana Menteri.
Seorang pemimpin perlu ada karisma dan
karisma terbentuk dari pandangannya yang jauh, kematangannya dalam
menilai sesuatu perkara, keikhlasannya dalam bekerja, pemikirannya yang
bernas dan kesungguhannya dalam memastikan segala idea-ideanya
terlaksana. Semua ini adalah jauh lebih penting dari kepetahannya untuk
berdebat.
Perdana Menteri yang baik tidak harus
terjebak dalam perdebatan tanpa tujuan yang pasti, kerana mencari
publisiti bukan salah satu dari tugas utamanya. Jika beliau perlu
mempertahankan apa-apa polisinya, menjelaskan aspirasinya atau
menggariskan idea-ideanya, beliau boleh saja memastikan akhbar-akhbar
mencetaknya dan televisyen mewar-warkannya.
Beliau tidak perlu melakukannya dengan berdebat di televisyen semata-mata kerana musuhnya tidak ada kerja.
Walaubagaimanapun, kita faham kenapa
seluruh jentera pembangkang termasuk media-media mereka amat teruja dan
bersungguh-sungguh ingin mengumpan Dato’ Seri Najib agar berdebat dengan
Anwar Ibrahim iaitu kerana ceramah, malah konvensyen PKR juga, sudah
tidak mendapat sambutan lagi. Kita faham yang Anwar amat terdesak
perlukan publisiti sekarang ini. Dan kita juga faham bahawa Anwar sudah
ketandusan isu untuk mengasak kerajaan.
Maka, soal debat antara dirinya dengan
Perdana Menteri perlu dicanangkan, sekadar untuk mencipta isu supaya
namanya tidak tenggelam terus.
Kita harap agar Perdana Menteri tidak
melayan dan membuang masa dengan orang seperti Anwar. Kami perlukan
Dato’ Seri Najib untuk bekerja bukan untuk berdebat. Biarkan Anwar
berdebat seorang diri atau dengan cermin kerana memang itu sajalah
kerjanya sejak dipecat sehingga sekarang.
Rakyat cukup maklum bahawa walaupun
Anwar petah bercakap, beliau tidak tahu bekerja. Kerana itulah
ceramahnya sudah kurang sambutan selama ini, kerana rakyat sudah muak
dengan cakap-cakapnya. Janganlah dipaksa kami mendengar lagi cakapnya di
televisyen melalui rancangan debat atau apa saja, kerana kami sudah
tidak sanggup lagi mendengar suaranya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan