Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
JOHOR BAHRU - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pakatan pembangkang masih gagal melunaskan 85 peratus janji seperti dalam manifesto yang dicanangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).

Beliau berkata, berdasarkan kepada kajian yang dibuat, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) hanya menunaikan kurang 15 peratus daripada keseluruhan janji yang dibuat.

“Yang mutakhir, kerajaan PR sebelum ini menjanjikan pemberian bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu tetapi gagal ditunaikan sehingga rakyat bangkit menuntut janji itu.

“Mereka sudah diberi peluang untuk memerintah negeri tetapi tidak dapat melaksanakannya. Macam mana kononnya mereka mahu diberi peluang menuju ke Putrajaya?” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Pulai, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional sehingga kini sudah berjaya menunaikan lebih daripada 87 peratus janji yang dibuat sejak daripada pilihan raya umum pada 1959 ketika di bawah Parti Perikatan.

Beliau bagaimanapun mengakui terdapat kelemahan sebanyak 13 peratus di dalam menunaikan janji yang dibuat dan tidak mengandaikan perkara itu akan dibawa kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kerjasama di antara tiga parti dalam PR ibarat 'perkahwinan mutaah' yang bersifat sementara.

Tegasnya, PKR, DAP dan Pas hanya memerlukan antara satu sama lain pada musim pilihan raya dan berkeyakinan kerjasama seperti itu tidak akan bertahan lama kerana mereka mempunyai agenda berbeza.

“Kita lihat seperti mana yang berlaku di Pulau Pinang, DAP cuba menguasai lebih daripada dua pertiga kerusi di sana kerana mereka sedar PKR dan Pas tidak mempunyai tapak yang kukuh di sana, selain mahu menjadi parti tunggal di negeri itu.

“Adalah lebih baik, PKR dan Pas meninggalkan DAP dan menjadi entiti tunggal kerana mereka tidak jujur dalam menterjemahkan kesepakatan yang terjalin dan kaedah yang sama juga akan dilakukan jika mereka menguasai Putrajaya,” katanya.