TUN M - SAYA TOLAK HUDUD PAS, BUKAN HUDUD ISLAM !!!
Menurutnya, ini kerana hukum hudud yang diperjuangkan parti pembangkang itu cenderung untuk berlaku tidak adil kepada masyarakat Islam di negara ini.
Sebagai contoh katanya, di bawah 'hudud Pas', seseorang beragama Islam yang didapati bersalah mencuri akan dipotong tangan sementara bagi bukan Islam akan hanya dihukum penjara sekiranya didapati bersalah.
"Saya tak boleh sokong itu kerana tak kena dengan Islam. Kalau sesuatu itu tidak adil, ia tidak Islam. Islam tuntut supaya apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil.
"Ini tidak adil, adakah orang Islam potong tangan, orang bukan Islam tak potong, masuk dua bulan penjara, itu tidak adil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2011 di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
Isu hudud kembali hangat diperkatakan kebelakangan ini apabila Pas mendakwa akan terus memperjuangkan hukum syariah itu jika pembangkang berjaya membentuk kerajaan kelak sementara rakan sekutunya, DAP dengan keras berulang kali menolak idea tersebut.
Pas juga mendakwa hudud tidak boleh dilaksana sekalipun Kelantan dan Terengganu telah mempunyai Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 kerana tidak dipersetujui Dr. Mahathir sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
Selain itu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti dipetik daripada lidah rasmi parti itu, HarakahDaily pada 1 Oktober 2011 berkata, Pas tidak memaksa orang bukan Islam untuk menerima hudud sama seperti mereka tidak dipaksa memeluk Islam.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun lalu juga dipetik memberi jaminan bahawa hudud jika dilaksanakan tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam.
Dalam pada itu Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot ketika dihubungi menjelaskan, hukum syariah termasuk hudud menekankan keadilan ke atas semua pihak dan ia seharusnya terpakai ke atas umat Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara.
"Kafir pun termasuk, kalau hanya untuk Islam, ia sudah lari daripada kehendak hukum ajaran Islam. Maka hudud Islam kalau hendak dilaksanakan perlu ke atas semua pihak," katanya. -UM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan