Hasan Ali

Dr Hasan Mohamed Ali
SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu mengambil tindakan tegas terhadap khatib yang mendoakan kehancuran Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam doa penutup khutbah Jumaat lalu di Masjid Al Falah, Hulu Yam.

Bekas Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata, perkara itu jelas bertentangan dengan peraturan Jais kerana diakui sendiri khatib terbabit bahawa doa tersebut merupakan tambahan dan bukannya dalam teks khutbah.

Menurutnya, perkara ini perlu ditangani dengan tegas kerana bimbang akan terus berleluasa dan mendatangkan impak negatif kepada perpaduan ummah.

“Apabila doa tersebut tidak terkandung dalam teks khutbah Jumaat, ini jelas bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan dalam pentadbiran dan pengurusan Jais sendiri.

“Kita juga bimbang sekiranya doa negatif sebegitu dibenarkan dan tiada sekatan, sudah pasti ianya akan ‘berjangkit’ ke tempat-tempat lain pula.

“Jika ia terus dibiarkan berlaku, dikhuatiri akan timbul perpecahan dalam masyarakat kerana sesiapa yang mendengarnya akan timbul kemarahan dan tidak mustahil boleh berlaku pergaduhan melibatkan perilaku fizikal dan  sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, institusi masjid sebagai rumah ALLAH SWT juga akan tercemar sekiranya berlaku pergaduhan di dalamnya seterusnya kesucian agama Islam akan tercemar.

Dalam pada itu, Adun Sementa, Datuk Abd Rahman Palil yang juga bekas Exco Agama Selangor berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana masjid bukan gelanggang politik.

Abd Rahman turut menyifatkan doa tersebut lebih menjurus kepada hawa nafsu semata kerana sebagai orang Islam tidak sepatutnya mendoakan kehancuran saudara seagama.

“Ajaran apa yang dia (khatib) itu ikut kerana dalam Islam kita ditegah mendoakan yang tidak baik lebih-lebih lagi sesama kita Islam, bagaimana kalau yang didoakan itu termasuk keluarga dan saudara maranya, adakah dia rela melihat kehancuran mereka?” katanya.

Jumaat lalu, jemaah Masjid Al Falah terkejut apabila khatib menutup khutbah dengan doa meminta kehancuran Umno dan BN selepas mendoakan kesejahteraan Sultan Selangor.

Sementara itu, khatib terbabit yang merupakan Imam II masjid itu, Mohamad Azmi Hassan mengakui doanya itu adalah tambahan beliau sendiri dan tidak terkandung dalam teks asal dan tindakannya itu semata-mata mahu meluahkan segala yang terbuku di hatinya.

Sumber : Sinar Harian