PANAS TERIK!! Perkasa: Negara dijajah lagi jika pembangkang berkuasa
MARANG – Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kassim menyifatkan negara ini bakal menjadi mangsa penjajahan kali kedua sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran negara.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di sini, beliau menjelaskan penjajahan terbabit melibatkan kuasa asing yang memperalatkan tokoh atau pemimpin tertentu di peringkat tempatan untuk mengawal pemikiran rakyat di negara ini.
Menurutnya, perkara itu boleh dilihat melalui usaha yang sedang dilakukan kuasa asing ke atas beberapa negara di Timur Tengah, di samping boleh dilihat di negeri tertentu di bawah urus tadbir Pakatan Rakyat (PR) ketika ini.
“Penjajah tidak perlu datang, tetapi cukup dengan mengawal dari luar. Dia cuma membantu dari segi kewangan, maklumat dan strategi, itu sahaja. Maka ketika ini, walaupun yang memerintah adalah orang Melayu tetapi pemikirannya telah terjajah, jiwanya telah terjajah.
“Jadi maknanya, kita akan mengikut telunjuk dan percaturan luar sebagaimana yang sedang berlaku, sedang diusahakan sekarang sebagaimana telah berlaku di beberapa negara Timur Tengah,” katanya selepas Forum Perdana Isu-Isu Semasa di Gelugor Kedai, malam tadi.
Ruslan merupakan ahli panel forum di samping Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya.
Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar, Adun Alor Limbat, Alias Abdullah dan Pegawai Pembangunan Dun Bukit Payong, Zaidi Muda.
Mengulas lanjut, Ruslan berkata, penjajahan kali kedua memberi kesan amat besar terhadap usaha membela agama, bangsa dan negara.
Beliau sehubungan itu meminta rakyat berhati-hati kerana keadaan itu juga dilihat mampu menghakis keistimewaan yang dinikmati khususnya kaum Melayu tanpa mereka menyedari perkara itu akibat termakan persepsi yang dibuat terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, lebih jelas lagi apabila segelintir parti pembangkang mengamalkan dasar sama rata, yang jelas berbeza dengan konsep adil.
“Kita akan terikut dengan percaturan, jadi ‘puppet’ apabila ada tokoh tertentu yang selama ini telah terhutang budi (dengan kuasa luar, tiada lagi istimewa jika ada konsep sama rata (dilaksanakan), di mana keadilan? Keadilan itu adalah dengan meletakkan sesuatu kena pada tempatnya,” katanya.
Pada masa sama, Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam juga dikatakan tidak mampu menahan tindakan terbabit daripada berlaku kerana mendakwa Pas kini lebih mengutamakan kuasa.
“Awas, jangan sampai berlaku penjajahan kali kedua kerana penjajahan kali pertama kita nampak orangnya tetapi kali kedua, kita tidak nampak. Kita tidak tahu dari sudut mana mahu lawan.
"Apabila tidak nampak orangnya, tiba-tiba kita sudah terjajah dan segala apa kita buat semuanya ikut pemikiran penjajah, hati penjajah dan jiwa penjajah. Jadi tidak akan ada pembelaan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan