Arena politik Malaysia: Beradab atau ganas?
.
SUNGAI BESAR - Perbuatan menyimbah cat ke atas bas,  poster dicuri, dimusnah atau dibakar, baling batu sewaktu ceramah, menyekat penceramah, mengganggu penceramah dengan membuat bising adalah salah satu kegiatan yang ditolak dalam politik di negara ini.

Difahamkan, segala bentuk perbuatan itu mendorong mewujudkan provokasi dalam kalangan penduduk setempat.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, pihaknya ada menerima beberapa laporan yang dibuat oleh sesetengah pihak berhubung kejadian tersebut.

“Kebanyakan kejadian tersebut melibatkan parti politik yang mendorong bagi mewujudkan perselisihan serta pergaduhan pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mushar, perbuatan itu dianggap sebagai politik tidak sihat serta mampu beri kesan mendalam kepada budaya politik di negara ini.

Jelasnya, ahli politik sewajarnya memahami cara berpolitik dengan betul dan tidak menggunakan budaya tidak sihat ini dalam negara yang dianggap aman ini.

“Jika kita lihat, kebanyakan ahli politik di negara tidak punyai masalah seperti ini malah mereka turut beri sokongan sekiranya parti yang diwakili mereka kalah,” katanya.

Mushar berkata, menerusi laporan yang dibuat oleh beberapa pihak, polis akan menjalankan tindakan dengan menyiasat perkara tersebut agar tidak menimbulkan perselisihan pada masyarakat.

Tambahnya, pihaknya akan menjalankan siasatan selepas mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi membolehkan kertas siasatan dibuka.

“Kita akan ambil pendekatan untuk kesan dan mengambil tindakan ke atas pihak yang dilihat melakukan perkara ini,” katanya.

Sumber : Sinar Harian