KUALA LUMPUR, 8 Nov – Kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah agar umat Islam juga diberikan ruang kebebasan dalam beragama dianggap sebagai satu pengesahan di mana fahaman pluralisme agama kini telah menyerap menjadi satu konsep dan fahaman kepimpinan tertinggi di dalam parti tersebut.
Menurut Presiden Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS), Ustaz Rosdi Long, kenyataan Nurul Izzah itu amat jelas memperlihatkan fahaman beliau yang meletakkan Islam itu sama seperti agama atau kepercayaan lain yang ada di muka bumi ini.
“Sebenarnya, fahaman pluralisme ini bukan satu perkara baru. Ia wujud sejak bermulanya Islam di kota Mekah lagi. Abu Jahal itulah bapa kepada fahaman pluralisme yang cuba menyamakan Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah saw itu, sama dengan agama-agama lain pada ketika itu.
“Jadi, golongan yang meneruskan fahaman pluralisme agama ini boleh kita katakan sebagai pewaris kepada Abu Jahal. Bukan pewaris darah keturunan, tetapi pewaris kepada fahaman yang dibawa oleh Abu Jahal itu sejak lebih 1500 tahun dulu,” tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.
Justeru itu menurut beliau lagi, sekiranya Nurul Izzah membuat kenyataan itu dalam keadaan sedar dan waras, maka dibimbangi akidah dan fahaman Naib Presiden PKR itu telah rosak dan lari dari ajaran Islam yang sebenar.
“Sebab itu di dalam Al Quran menyuruh kita untuk bertanya kepada yang lebih tahu tentang hal-hal yang melibatkan Islam, apatah lagi apabila ia menyentuh berkenaan hal-hal pokok di dalam Islam seperti isu akidah. Kenyataan yang beliau buat itu secara jelas, menyokong agar umat Islam di negara ini diberikan hak untuk bebas untuk memilih agama, sepertimana hak orang bukan Islam di negara ini bebas untuk memilih agama mereka.
“Mungkin Nurul Izzah tidak tahu, bahawa ayat 256 surah AL Baqarah itu ditujukan kepada mereka yang bukan beragama Islam. Ini bermakna, mereka yang masih belum Islam, tidak boleh dipaksa untuk memeluk Islam biarpun ahli keluarganya yang lain sudah memeluk Islam.
“Ia bukanlah bermaksud orang Islam bebas untuk memilih agama lain sesudah mereka memeluk Islam. Seseorang yang sudah memeluk Islam, sudah tentunya tertakluk kepada undang-undang Islam, di mana perlakuan murtad itu termasuk di dalam undang-undang hudud di dalam Islam yang ada hukumannya yang tertentu,”ujarnya kepada UMNO-Online di sini.
Di samping itu, Rosdi turut membidas Pas yang disifatkannya gagal dalam memberikan kefahaman akidah yang tepat terhadap kepimpinan-kepimpinan di dalam Pakatan Pembangkang termasuklah PKR.
“Apa yang saya kesalkan, di dalam forum tersebut juga ada orang kuat Pas yang bagi saya, bukan calang-calang orangnya. Sepatutnya, Nurul Izzah tidak membuat kenyataan sedemikian kerana beliau bergaul dengan orang-orang agama di dalam parti Pas.
“Namun ia tidak berlaku sebegitu tetapi berlaku sebaliknya, malah orang-orang kuat agama di dalam Pas itu pula mempertahankan kenyataan Nurul Izzah dan cuba menuding jari mencari kesalahan pihak lain pula. Apakah kerana PKR merupakan rakan kongsi politik mereka, lalu segala kesilapan dan kesalahan mereka cuba ditutup dan dibela oleh Pas hanya semata-mata kepentingan politik kepartian mereka,?” soalnya tegas.
Beliau juga menyeru masyarakat agar melihat isu ini bukan dari sudut pandangan politik, sebaliknya ia merupakan isu akidah yang menjadi pokok di dalam Islam, yang sudah tentunya lebih penting dari isu politik.
“Kita perlu letakkan Islam itu lebih tinggi dari politik. Sekiranya kita sebagai umat Islam di negara ini meletakkan politik itu lebih tinggi dari Islam, maka akan timbul huru hara dan masalah yang besar di situ. Masyarakat umat Islam di negara ini perlu akur dan sedar, bahawa kepentingan Islam itu melebihi dari kepentingan politik kepartian dan bukan sebaliknya,” jelasnya lagi.
Sumber : Media UMNO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan