Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Kekalahan Barisan Nasional (BN) di beberapa negeri pada pilihan raya umum 2008 telah memberi banyak perubahan kepada imej baru gabungan tersebut. Kini menjelang Pilihan Raya Umum  Ke-13 (PRU13), Pemerhati politik  meramalkan akan berlaku satu pertembungan sengit, di antara BN dan Pakatan Rakyat (PR). Namun, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam wawancara bersama Sinar Harian menegaskan BN kali ini lebih bersedia dari segi segala aspek berbanding dahulu.   Ikuti wawancara Menteri Pertahanan ini bersama Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali; Editor Sinar Harian Online, Dr G Manimaran; Wartawan, Noor Azura Sahril dan Jurugambar Rosli Talib.


Pandangan Datuk Seri sebagai Naib Presiden, bagaimana kedudukan Umno kini selepas empat tahun, sejak tsunami politik pada 2008?

Persoalan utama yang perlu diakui hakikatnya adalah daripada segi ‘relevansi’  Umno dan BN dalam arena politik di negara kita. Ia berdasarkan, 42 peratus daripada jumlah pengundi, terdiri daripada usia 40 tahun ke bawah.

Daripada jumlah itu, 19 peratus pengundi terdiri berumur 21 hingga 30 tahun dan  23 peratus terdiri daripada mereka yang berusia 30 ke 40 tahun.

Pada segi sosialnya, 19 peratus pengundi ini, mereka terdiri daripada dua kategori iaitu pertama dan lebih sekali mengundi. Dan mereka membuat keputusan berdasarkan media baru.

Manakala 23 peratus itu membuat keputusan berdasarkan percampuran media baru dan konvensional. Mereka ini pula merupakan ketua keluarga muda iaitu terdiri daripada golongan profesional, demokrat dan separa keterampilan, yang mencari ke arah kestabilan keluarga.

Golongan 42 peratus ini yang memikirkan apa yang mereka peroleh untuk masa hadapan buat diri dan keluarga. Justeru, Umno dan BN tidak boleh lari daripada persoalan untuk merelevankan parti iaitu dengan langkah menawarkan produk baru untuk generasi ini.

Produk baru itu antaranya, termasuklah sistem pendidikan, pengagihan kekayaan negara, dan juga soal kegembiraan rohani yang perlu diberi tumpuan dan tidak hanya kepada kegembiraan fizikal sahaja. Ini kerana generasi ini lahir selepas negara ini mencapai
kemerdekaan, di mana pembangunan fizikal tidak perlu lagi diperjuangkan sebagai agenda, tetapi ini adalah keperluan.


Bagaimana dengan baki 58 peratus pengundi? Adakah sokongan mereka kuat terhadap BN atau pembangkang?

Dalam kalangan pengundi Melayu, bentuknya berbeza dengan kaum lain. Pengundi Melayu merasakan bahawa apa yang dipersembahkan oleh kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berbeza berbanding Perdana Menteri terdahulu.

Majoriti pengundi Melayu, mereka berpuas hati dengan perubahan yang dilakukan. Manakala bagi pengundi Cina, lebih 70 peratus kalangan mereka merasakan masih belum mencukupi.

Dua aspek yang sering ditekankan adalah peluang terbuka luas dalam bidang pendidikan untuk generasi muda dan peluang perniagaan yang lebih telus.  

Bagi kalangan pengundi India, Hindraf menjadi elemen penting dengan lebih 80 peratus daripada mereka percaya, sokongan terhadap parti itu dapat memberikan RM1 juta yang dituntut pampasannya daripada Kerajaan British. Akhirnya, apabila tidak berlaku, ramai pengundi India kembali menyokong dan yakin kepada BN.


Adakah tindakan dan langkah yang dilakukan BN kini menjurus ke arah kegembiraan rohani seperti yang dikatakan?

Masyarakat kini memerlukan keseimbangan duniawi dan akhirat dengan tidak hanya memfokuskan kepada infrastruktur dan hanya keperluan asas sebagai warganegara. Berbanding dengan parti pembangkang yang memberikan kegembiraan rohani, umpamanya di Kelantan yang dikuasai oleh Pas begitu lama, meskipun pembangunan fizikal tiada.

Ini kerana mereka dijanjikan syurga, meskipun dengan kuasa ALLAH, Pas berjaya menguasai minda dan sanubari rakyat dengan perimbangan soal keagamaan. Ini dapat mempengaruhi minda dan naluri kemanusiaan.

Begitu juga dengan komponen Pakatan, iaitu DAP dan PKR. DAP juga tidak dapat memberikan kegembiraan fizikal, kerana kegembiraan fizikal telah diberikan kerajaan terdahulu di Pulau Pinang, dengan mereka membangkitkan isu rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan mahukan kerajaan yang telus.

Perkara ini yang dekat dengan pengundi baru. PKR pula menjadi jambatan antara Pas dan DAP, mengarah kepada kegembiraan rohani.  

Kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib, menjurus ke arah pertimbangan ini. Itulah sebab agenda sekarang ini memperlihatkan komitmen Kerajaan untuk membawa pengundi-pengundi kepada elemen kegembiraan rohani.

Umpannya masyarakat Cina dan India iaitu kebebasan keagamaan, biarpun mengakui Islam adalah agama persekutuan. Ini yang dilakukan Datuk Seri Najib melalui konsep Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan dalam memberikan keseimbangan kepada warganegara Malaysia.

Dalam memberikan keseimbangan ini, soal keperluan diberikan tumpuan tanpa meninggalkan prinsip asas dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana agama Islam kekal agama rasmi negara, Raja-raja Melayu dikekalkan, bahasa Melayu kekal Bahasa Kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu dikekalkan.


Adakah dengan elemen ini akan menjadi penentu terhadap ‘survival’ Umno?

Ia bukan sekadar itu, tetapi apakah agenda baru yang mahu dilontarkan kepimpinan BN sekarang ini yang menjadi pemerintah kepada khalayak.


Adakah pengundi Cina masih lagi menjadi penentu kemenangan BN?

Di sesetengah kawasan, pengundi Cina penentu kemenangan, tetapi di kawasan yang majoritinya Melayu, persaingannya adalah Umno dan Pas dan di kawasan majoritinya Cina, adalah antara DAP dan MCA.

Manakala di kawasan campuran, pengundi Cina menentukan kerusi Dun atau Parlimen. Kawasan campuran kini, dikenal pasti sekitar 40 peratus, selepas persempadanan semula dilakukan sejak 10 tahun lalu.  

Di Bagan Datok umpamanya ada 57 peratus pengundi Melayu, 23 peratus pengundi India dan 20 peratus Cina. Dulunya, kawasan campuran ini adalah kawasan paling selamat bagi BN, tetapi tidak lagi dalam keadaan sekarang, kerana pengundi bukan Melayu adalah penentu.


Pada pandangan Datuk, BN masih masih berpeluang menang PRU ke-13 ini?

Bagi saya tidak lebih baik daripada keputusan PRU pada 2004 dan tidak lebih buruk daripada keputusan PRU 2008. BN bukan sahaja perlu bekerja keras, tetapi bekerja dengan penuh bijaksana, dengan mengambil hati khalayak.  


Adakah PRU13 ini merupakan pilihan raya paling mencabar?

Cabaran kepada BN, bukannya kekuatan parti pembangkang, tetapi fokus kepada masalah dalaman. Ini kerana budaya selesa dalam kalangan ahli parti masih lagi menebal dan tidak dapat diatasi. 100 peratus masalah dalaman perlu diselesaikan sebelum PRU.

Walaupun pemimpin Majlis Tertinggi parti turun ke bawah, kajian kami mendapati isu itu menjadi stigma besar kepada jentera parti Umno.


Apa tindakan pemimpin tertinggi BN dalam mengatasi masalah ini?

Ada kaedah dan pendekatan yang kami lakukan. Mengikut kajian, faktor calon 37 peratus penentu kemenangan atau kekalahan di kawasan Dun dan Parlimen. Oleh itu, masalah dalaman Umno adalah faktor calon dan ini yang ditekankan oleh Datuk Seri Najib.

Calon bukan sahaja berdasarkan hierarki, tetapi keperluan tempat dan semasa. Meskipun PRU semakin hampir dan isu itu tidak dapat selesaikan 100 peratus, kami berpuas hati jika sebahagian besar dapat diselesaikan.


Dalam menghadapi PRU kali ini, segelintir pemimpin BN dalam ucapan menampakkan kerisauan. Apa pandangan Datuk?

Kita bukan sahaja risau, tetapi harus menghadapi realiti baru ini kerana pilihan raya kali ini bukan PRU biasa, tetapi amat luar biasa yang harus ditangani berdasarkan angka, bukan hanya dengan perasaan kerana politik adalah “game of number”. Dahulu kita meramalkan secara jamak terhadap sokongan rakyat kepada BN, tetapi sekarang ini setiap orang dikira kerana bentuknya kini telah berubah.


Apa cabaran paling besar dalam menghadapi PRU ke 13?

Cabaran paling besar adalah mendekati khalayak dan tidak boleh lagi menggunakan komunikasi bersemuka sahaja. Ini kerana komunikasi tanpa lisan berada pada tahap 87 peratus. Mesej harus sampai kepada golongan sasaran dengan berkesan.

Meskipun media baru ini menguasai sebahagian besar khalayak, perlu diakui media daripada dulu hingga sekarang menjadi kuasa mendesak.


Adakah ini menunjukkan kepercayaan dan kredibiliti kepada berita telah berubah?

Saya rasakan medium komunikasi telah bertukar dan maklumat kini hanya di hujung jari. Pendekatan ini yang digunakan Datuk Seri Najib melalui Facebook, Twitter dan blognya.


Adakah PRU kali ini menunjukkan media akan menentukan corak pengundian atau mesej dan harapan?

Media bukan satu-satunya faktor mempengaruhi keputusan, banyak faktor lain  tetapi media menyumbang sebahagian besar kepada pembuat keputusan. Media daripada dahulu hingga sekarang, adalah “force estate’ itu harus akui sama ada media baru atau konvensional.


Adakah kini BN telah bersedia menghadapi kemungkinan PRU berlangsung bila-bila masa sahaja?

Realitinya, kami sudah bersedia menghadapi PRU .

Sumber : Sinar Online