LUMUT - Sebanyak 237 laporan polis dibuat oleh individu, persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, bagi membantah kenyataan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang mempertikaikan bantahan umat Islam terhadap filem 'Innocence of Muslims'.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata pihaknya akan meneliti setiap laporan yang diterima sebelum membuat keputusan dengan mengambil kira pelbagai sudut khususnya dari segi perundangan.


"Setakat ini kita telah kumpul laporan polis dan memanggil pegawai saya untuk mengkajinya. Segala perkembangan lanjut, saya akan beritahu," katanya kepada pemberita selepas Forum Pencegahan Jenayah di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan turut dihadiri Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Datuk Ayub Yaakob.
Mohd Shukri menegaskan bahawa semua pihak terutama dalam kalangan pemimpin perlu melihat isu sensitif bukan sahaja daripada sudut undang-undang malah aspek keselamatan.

"Kita yang hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama perlu mempunyai rasa tanggungjawab tentukan bahawa isu sensitif yang boleh membangkitkan atau menimbulkan masalah keselamatan umum, khususnya yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan bangsa, perlu diberi pertimbangan dan keutamaan," katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai dan pihak tertentu supaya berhati-hati dalam membuat apa jua ulasan bagi mengelak timbulnya kemarahan oleh masyarakat.
 
"Dalam kontek masyarakat majmuk, kita mahu hidup secara harmoni tanpa timbul rasa tidak selesa, lebih-lebih lagi isu yang melibatkan bangsa, agama dan isu yang menimbulkan masalah kepada masyarakat," katanya.
Ngeh menerusi laman twitternya mengeluarkan kenyataan 'Khairy wants Muslim protest against Sam Bacile. For Islam or for his political gains? Are Muslims wasting too much time and energy on this?.
(Khairy (Jamaluddin - Ketua Pemuda Umno) mahu umat Islam mengadakan bantahan terhadap Sam Bacile. Untuk Islam atau untuk kepentingan politik beliau? Adakah umat Islam menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga ke atas perkara ini?)
Filem anti-Islam 'Innocence of Muslims' yang menghina Nabi Muhammad dan agama Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California yang disiarkan dalam laman YouTube, telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. - Bernama

Pssst.. AKjr harap manusia diatas ini akan dikenakan tindakan yg tegas supaya dia tidak mengulanginya lagi serta menjadi pengajaran kepada semua manusia-manusia dlm dunia ni bahawa ISLAM adalah sebuah agama yang suci dan nilai maruahnya terlalu tinggi...