YB Dato Haji Hasan Ali
Saya terpanggil untuk memberi sedikit ulasan terhadap tweet yang dilakukan oleh YB Ngeh Koo Ham semalam yang menyifatkan umat Islam seolah-olah membuang masa dan tenaga apabila mengadakan perhimpunan besar-besaran Jumaat ini untuk membantah penghinaan Sam Bacile ke atas agama Islam melalui filem Innocence of Muslims.
Saya merasakan kenyataan tersebut menggambarkan kejahilan peringkat darjah tertinggi beliau tentang Islam walaupun DAP sudah berkawan dengan Parti Islam Se-Malaysia PAS buat sekian lamanya. Kenyataan sedemikian sudah tentu menyinggung perasaan dan menghiris jiwa keIslaman masyarakat Islam dalam konteks mempertahankan aqidah sehingga sanggup menginfaqkan nyawa untuk mempertahankan kesucian agama mereka.
Perasaan sedemikian terbayang dalam demontrasi yang diadakan dikebanyakkan negara Islam dan seperti yang diketahui, ramai menjadi korban akibat daripada manifestasi keimanan yang dipaparkan oleh mereka.
Kenyataan pemimpin DAP Perak itu bagi saya seolah-olah mencabar maruah dan tingkat kesabaran masyarakat Islam di negara ini. Tak cukup dengan kenyataan Karpal Singh yang berterusan bersifat menghina Islam, rupa-rupanya ramai lagi pemimpin-pemimpin DAP yang mudah menyatakan pendirian anti Islam tanpa mengira sensitiviti masyarakat Islam.
Saya merasakan YB Ngeh yang dianggap senior dan sudah begitu lama bergiat dalam politik seharusnya dapat membaca reaksi masyarakat Islam. Saya bimbang kenyataan-kenyataan seperti ini boleh menimbulkan kemarahan dan seterusnya tindakan yang tidak boleh dijangkakan yang mungkin di ambil oleh masyarakat Islam yang terasa begitu di hina oleh orang-orang bukan Islam yang selama ini mereka hormati.
Saya ingin melihat pemimpin-pemimpin PAS tampil kehadapan terutamanya mereka yang saya labelkan sebagai parasit untuk menyatakan pendirian mereka sekurang-kurangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh melegakan ahli dan penyokong PAS. Tetapi saya tidak terperanjat kalau mereka menyepi diri membisu tanpa bahasa seperti yang biasa berlaku sebelum ini.
YB DATO DR HASAN ALI
Presiden JATI
ADUN Gombak Setia
19 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan