SGB

SGB
Suara Generasi Baru

Pengikut Teman

Jumaat, 28 September 2012

Dr Mahathir terima anugerah Habitat-Rafik Hariri PBB 2012


Dr Mahathir terima anugerah Habitat-Rafik Hariri PBB 2012


Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini untuk menerima anugerah Habitat-Rafik Hariri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2012, yang dijangka disampaikan pada Jumaat.Beliau diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Dr Mahathir, 87, dinamakan pemenang anugerah itu pada Jun lepas oleh jawatankuasa pemandu anugerah bagi mengiktiraf kepimpinan, negarawan dan tadbir urus yang baik.
Anugerah itu dinamakan sempena bekas perdana menteri Lubnan, Allahyarham Rafik Hariri, ditubuhkan oleh keluarga Hariri dan inisiatif bersama Habitat PBB melalui Yayasan Rafik Hariri pada Mac 2009.
Anugerah dibuka kepada individu, organisasi atau institusi seluruh dunia di atas pencapaian dalam bidang kepimpinan, negarawan, tadbir urus yang baik; pembinaan dan pembinaan semula penempatan dan komuniti, pembangunan sumber manusia; dan aktiviti kebajikan memerangi kemiskinan bandar dan pelaksanaan Agenda Habitat.
Pemenang anugerah sebelum ini ialah Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, yang juga diiktiraf bagi kategori kepimpinan, negarawan dan tadbir urus baik, terutama sewaktu menjawat jawatan Datuk Bandar Istanbul pada pertengahan 19990-an apabila beliau menganjurkan Persidangan Kedua PBB tentang Penempatan Manusia. Ia membawa kepada penubuhan Habitat PBB, beroperasi sepenuhnya di bawah program PBB yang ditugaskan menggalakkan menyediakan perlindungan untuk semua.
Nazek Rafik Hariri, balu Rafik Hariri dan presiden Yayasan Rafik Hariri, semasa pengumuman pemenang anugerah itu berkata suami beliau sangat mengagumi pencapaian Dr Mahathir.
"Perhubungan mereka berdasarkan kepentingan bersama membina keyakinan dan kejayaan ekonomi untuk negara masing-masing," katanya.
Bekas perdana menteri Lubnan itu telah beberapa kali melawat Malaysia sewaktu pemerintahan Dr Mahathir. Pada September 2004, Allahyarham yang memerintah selama lima kali, mendapat pengiktirafan Habitat Award Scroll of Honour, anugerah tertinggi PBB dalam pembangunan penempatan.
Penasihat Saintifik Habitat PBB Prof Banji Oyelaran-Oyeyinka bercakap bagi pihak jawatankuasa pemandu telah menggambarkan Dr Mahathir sebagai, "seorang individu luar biasa yang melakukan perkara luar biasa untuk negaranya.
  
"Malaysia sedang mara ke arah pembangunan ekonomi yang pesat ketika zaman (kepimpinan) Dr Mahathir. Ia diiktiraf bahawa beliau jelas mempengaruhi semua negara membangun lain akan kemungkinan untuk membangun secara pesat dalam tempoh yang singkat," katanya. 

Pengerusi Juri Antarabangsa Mervat Tallawy berkata: "Pendapatan per kapita Malaysia semasa beliau (Dr Mahathir) memerintah meningkat lapan kali ganda, model pemikiran untuk keluar daripada masalah atau krisis hampir sama seperti Perdana Menteri Rafik Hariri". 
Kenyataan Habitat PBB yang dikeluarkan semasa pengumuman itu menganggap Dr Mahathir berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang melalui proses pemodenan dan kemajuan ekonomi yang pantas. 
"Beliau (Dr Mahathir) adalah seorang tokoh politik yang berpengaruh dan berjaya memenangi lima kali berturut-turut pilihan raya umum dan kekal sebagai tokoh politik yang aktif selepas bersara," menurut kenyataan itu.
Karier politik Dr Mahathir menjangkau hampir 40 tahun dan menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun iaitu antara 1981 dan 2003.
Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah tiba di sini, pada Khamis untuk lawatan rasmi empat hari ke Amerika Syarikat (AS) dan disambut Duta Malaysia ke AS, Datuk Othman Hashim dan isteri Datin Rohayazam Kamarulzaman di Lapangan  Terbang Teterboro di New Jersey dan kemudian disambut Konsul Jeneral Malaysia di New York, Syed Bakri Syed Abdul Rahman, di hotel penginapan. 
Dr Mahathir, dijangka bertemu pelajar Malaysia dari New York, New Jersey, Connecticut dan Pennsylvania pada Sabtu manakala Dr Siti Hasmah akan bertemu isteri-isteri kepada perwakilan tetap ke PBB di sini.  - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan