SGB

SGB
Suara Generasi Baru

Pengikut Teman

Isnin, 10 September 2012


10,000 dijangka meriahkan sambutan Hari Malaysia, 16 September






IPOH - Lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan tiga program utama di seluruh pelosok negeri ini, termasuk acara kemuncak perarakan penuh warna-warni sempena sambutan Hari Malaysia 2012 Peringkat Negeri Perak, 16 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Datuk Hamidah Osman berkata, selain sambutan Hari Malaysia, kerajaan negeri turut menganjurkan program Citra Perak Amanjaya 2012 dan Perak Arts Festival 2012.
"Selain untuk menyambut Hari Malaysia, tujuan kita mengadakan program ini adalah bagi menanam semangat 'berfikir dan bertindak memajukan pelancongan' serta mengikis tanggapan kononnya Perak tidak boleh membangun sebagai negeri pelancongan.
"Mesej pelancongan ini bukan hanya perlu disebarkan di Ipoh sahaja, tetapi harus diperluas ke seluruh daerah di negeri ini," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Musa Don di sini hari ini.
Hamidah memberitahu, sambutan Hari Malaysia akan diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bakal menyaksikan pelbagai acara menarik termasuk pertandingan lagu patriotik, persembahan puisi dan 49 jenis dram, tarian 1Malaysia serta pelancaran Aplikasi Pintar 'Jom Terokai Perak' oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Menurut beliau, aplikasi pintar 'Jom Terokai Perak' dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, Celcom membolehkan pengguna Internet memperoleh maklumat destinasi menarik di negeri ini melalui Google Map.
Beliau menambah, para pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan orkestra serta nyanyian oleh artis-artis terkenal tanah air termasuk Datuk M. Nasir dan Ramli Sarip, perarakan kenderaan peserta Pertak International Explorace serta upacara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu Negaraku.
Dalam pada itu, Hamidah berkata, program Citra Perak Amanjaya 2012 yang akan berlangsung Jumaat ini akan melibatkan perarakan kebudayaan semua daerah di Perak, selain penampilan istimewa dari negeri jemputan seperti Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Terengganu.
Beliau berkata, perarakan yang akan bermula dari Bangunan Maju UMNO berhadapan Gerbang Malam itu akan berakhir di Dataran MBI.
"Raptai sambutan Citra Perak Amanjaya 2012 yang akan berlangsung pada Rabu dan Khamis ini turut melibatkan artis-artis Barisan Artis Nasional (BAN) yang membuat persembahan di pentas khas bergerak.
"Beberapa jalan juga akan ditutup mengikut masa-masa tertentu termasuklah Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Dato' Seri Ahmad Said, Jalan Raja Musa Azis dan Persiaran Dewan Bandaraya," tambahnya.
Sementara itu, beliau berkata, program Perak Arts Festival pula akan berlangsung selama dua hari bermula 14 September ini di jalan utama berhampiran MBI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan