Protes filem hina Nabi, Duta AS ke Libya antara 4 maut
Protes yang diadakan di pejabat konsul Amerika Syarikat semalam.
JEDDAH - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Duta Besar Amerika ke Libya dan tiga pegawai pejabat konsul di Benghazi.

Setiausaha Agung OIC, Prof Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, beliau terkejut dengan tindakan keji itu, yang tidak boleh diterima atas sebarang alasan.

Christopher Stevens terbunuh apabila sekumpulan penunjuk perasaan menyerang pejabat konsul Amerika menggunakan roket pelancar bom, sebelum membakar bangunan berkenaan kelmarin.

Keganasan itu dikatakan berpunca daripada penerbitan sebuah filem yang menimbulkan kemarahan umat Islam.

Dalam kenyataannya, Ihsanoglu menyuarakan kebimbangan mendalam beliau berkaitan serangan terhadap kedutaan Amerika di Kaherah kerana membantah filem yang diterbitkan di Amerika itu.

Katanya, dua kejadian itu mempamerkan akibat buruk yang boleh tercetus daripada tindakan menyalahguna kebebasan bersuara, seperti yang sentiasa diberi ingatan oleh OIC.

Walaupun penerbitan filem berkenaan amat dikesali kerana boleh menyalakan api kemarahan, namun tindakan melakukan keganasan, yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah, juga tidak boleh diterima, katanya. - Bernama