EKSKLUSIF #PRU13 : ANWAR DALAM DILEMA??? KAK WAN MERAJUK??
Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail
KUALA LUMPUR - Apabila Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah menyangkal kenyataan bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ibunya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding pada pilihan raya ke-13 akan datang, ada pihak tertanya apakah yang berlaku dalam keluarga PKR?
Mungkinkah ia hanya sandiwara atau wujud perselisihan secara terbuka dalam parti itu?
Nurul Izzah, yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai menyifatkan kenyataan ketua pembangkang itu sebagai "hanya cakap-cakap politik" dan setakat ini tidak ada perancangan sebegitu.
Malah, Nurul Izzah juga tidak percaya Anwar akan beralih angin bertanding di Perak seperti yang dibayangkan ketua umum PKR itu.
"Setakat ini tidak ada perancangan sebegitu dan ia akan dimuktamadkan semasa hari penamaan (calon) nanti," Nurul Izzah memberitahu pemberita selepas menyampaikan ceramah di Chabang Tiga, Kuala Terengganu pada malam tadi.
Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, penyokong kuat Anwar, sebaliknya mengesahkan kenyataan Anwar yang dibuat ketika ditemubual stesen televisyen Al-Jazeera pada Rabu malam.
"Wan Azizah akan mainkan peranannya untuk menjelajah seluruh negara bagi memikat pengundi wanita dan tidak akan bertanding untuk peringkat dewan undangan negeri (DUN)," kata Azmin mengenai presiden partinya semasa ditemui pemberita di
ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.
Dr Wan Azizah sebelum ini menyatakan beliau akan bertanding kerusi Dun di Selangor tetapi kawasannya belum diputuskan.
Setakat ini Dr Wan Azizah bagaimanapun belum membuat sebarang komen sejak siaran Al-Jazeera itu.
Anwar memberitahu stesen Al-Jazeera bahawa isterinya mengambil keputusan tidak bertanding apabila menjawab pertanyaan berhubung kritikan nepotisme dalam PKR kerana beliau merupakan penasihat PKR sementara Nurul Izzah naib presiden parti.
Dr Wan Azizah juga tidak kelihatan apabila Anwar dan pemimpin parti pembangkang bermesyuarat semalam di ibu pejabat PKR untuk menyiapkan agihan kerusi.
Pada Julai 2008, Dr Wan Azizah yang ketika itu ketua pembangkang, mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding kerusi itu pada pilihan raya kecil 26 Ogos 2008. Anwar menang mengalahkan calon Barisan Nasional dan calon Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM).
Nurul Izzah menjangka Anwar akan membuat pengumuman rasmi mengenai calon parti pada Rabu.
Mohamed Azmin berkata senarai calon PKR akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Ahad ini.
Sementara itu, Anwar kembali berteka-teki tentang pilihannya sama ada bertanding kerusi di Perak atau kekal di Permatang Pauh.
Malam tadi ketika di Gerik, beliau menggunakan alasan 'mahu berbincang' dengan pengundi di Permatang Pauh supaya 'mereka tidak berkecil hati' dan meminta tempoh 24 jam untuk membuat keputusan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan