INFO @ AKJr : Batu Gajah bakal jadi 'Bandar Lokomotif'
Batu Gajah yang wujud sekitar tahun 1870an sebagai sebuah perkampungan besar di pinggir Sungai Kinta kini berubah wajah menjadi tumpuan sektor perindustrian, perniagaan serta perkhidmatan swasta dan kerajaan.
Bandar yang suatu ketika dulu berkait rapat dengan industri bijih timah, sedang berkembang secara berperingkat-peringkat ketika ini dan menjadi tumpuan pelabur termasuk dalam sektor pengangkutan.
Kini, ledakan teknologi dalam sektor pengangkutan akan menjadikan Batu Gajah sebagai 'Bandar Kereta Api' dalam tempoh tujuh tahun lagi sekaligus menjadikan Malaysia sebagai hab industri rel di rantau ASEAN.
Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah Datuk Jamry Sury berkata pembangunan infrastruktur kereta api yang bernilai tinggi dan moden telah bermula dengan kehadiran syarikat gergasi lokomotif dari China yang akan membangunkan kemudahan membina lokomotif dan rel.
"Kejayaan kerajaan Persekutuan membawa masuk pelaburan yang besar ini juga merupakan kejayaan mereka dalam merealisasikan agenda pembangunan negara," katanya.
Projek bernilai besar ini juga akan membantu proses transformasi Batu Gajah mengikut peredaran zaman yang mana pada peringkat awal kegiatan ekonomi hanya berkait rapat dengan perlombongan bijih timah pada penghujung 1800-an.
Majlis pecah tanah projek syarikat China South Locomotive & Rolling Stock Corp Ltd di atas tapak seluas 16.8 hektar dengan pelaburan fasa pertama bernilai RM400 juta itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa lepas.
Fasa kedua projek berkenaan dijangka melibatkan pembangunan enjin lokomotif dan rel pada masa depan.
Jamry berkata aktiviti perniagaan lokomotif dan rel dijangka terus berkembang mulai tahun depan dengan penghasilan produk-produk untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan