WAJIB BACA : Hishammuddin hanya laksana tugas, Rais jawab Musa
KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini menyelar pihak yang mempertikaikan dan mengkritik tugas serta tanggungjawab yang dilaksanakan oleh seseorang menteri.
Beliau memberi contoh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang baru-baru ini didakwa mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sedangkan Hishammuddin hanya melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Kata Rais, mereka yang membuat kritikan itu sebenarnya tidak arif dalam perihal undang-undang dan seharusnya menginsafi perbuatan itu.
"Berasaskan undang-undang negara, saya berpendapat Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab di bawah Akta Polis. Beliau adalah peneraju utama keselamatan di dalam negara dan beliau juga bertanggungjawab kepada PDRM.
"Beliau juga merupakan pengerusi kepada Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia, jadi sebagai pengerusi, beliau bertanggungjawab untuk kebajikan, kenaikan pangkat dan perkara-perkara membangunkan pasukan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Himpunan Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan portal berita bahawa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mendakwa pasukan polis semasa di bawah pimpinannya berdepan dengan campur tangan Hishammuddin.
Rais turut menafikan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Perhimpunan Agung Umno 2012 yang berakhir Sabtu lepas gagal menyentuh isu asas melibatkan kepentingan rakyat, sebaliknya menjadi medan serangan terhadap pakatan pembangkang.
"Kita (Umno) tidak menyerang, kita hanya menyatakan perkara-perkara yang jelas berasaskan pada fakta dan fakta-fakta yang telah dikeluarkan itu adalah perkara yang boleh disemak semula benarnya.
"Kita sebenarnya tidak harus bermusuh secara peribadi, tetapi kita hanya mendirikan kebenaran dari segi dasar dan dasar-dasar ini mesti diperhitung oleh rakyat secara positif dan perkara-perkara negatif kita mesti ketepikan," katanya.
Mengenai PDRM, Rais berkata kerajaan tidak pernah melupakan sumbangan anggota polis dalam menjaga keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat dan negara.
"Contohnya, hari ini kita membantu dengan memberikan sumbangan kepada anggota polis yang memerlukan, termasuk keluarga mereka dan anak-anak mereka yang cemerlang dalam pelajaran," katanya.
Beliau berkata, program yang dianjurkan oleh kementeriannya melalui Jabatan Penerangan itu akan diteruskan ke seluruh negara.
Pada majlis itu, Rais menyampaikan netbook kepada 48 anak anggota polis di IPD Ampang Jaya yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Beliau turut menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada seorang anggota polis, Abdul Khalid Che Ros dan isteri seorang anggota polis, Habsah Jawawee yang menghidap strok selain cek bernilai RM20,000 kepada Kelab Polis Ampang Jaya.
Terdahulu, Rais melawat rumah Koperal Aziz Md Dom, 53, di Taman Cempaka di sini yang menghidap strok dan menyampaikan sumbangan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan