FLASHBACK UCAPAN PERASMIAN 3 SAYAP “Bersama Melakar Kemenangan” – @MuhyiddinYassin
Alhamdulillah, UMNO kini berada di persada 66 tahun usianya. Negara kita telah merdeka 55 tahun adanya. Ia datang bersama sebuah pemerintahan dari acuan negara sendiri, dari pimpinan anak watan sendiri. Selama lebih enam dekad inilah, parti kita telah mengabdikan diri kepada anak watan, mengubah keadaan, dari selubung kemunduran dan kemiskinan, kepada cahaya kemajuan dan kemakmuran.
Kita bersyukur, kerana hasil gabungan kebijaksanaan rakyat memilih pemimpin dan kebestarian pemimpin mengemudi negara, Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera. Rakyat dari segala rentasan kaum dan agama hidup dalam suasana yang harmoni, tanpa persengketaan, tanpa kemusnahan.
Pada masa yang sama, kita melonjak ke ambang negara maju dan melakar masa depan yang meyakinkan. Impian kita, harapan kita, hanyalah membina negara Malaysia yang berjaya dari Perlis hingga ke Sabah, dan sentiasa berada di bawah naungan Ilahi seperti yang dipohon oleh Nabi Allah Ibrahim:
وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنً۬ا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُ ۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٲتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡہُم بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِۖ
Yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.
(Surah Al-Baqarah, Ayat 126)
Saudara dan saudari yang saya hormati,
Politik Perkongsian Kuasa
Menghimbau 55 tahun yang lalu, Malaysia berada dalam situasi yang hampir sama seperti di Sri Lanka, Fiji dan Myanmar ketika negara-negara ini berada di ambang kemerdekaan. Kesemuanya adalah bekas tanah jajahan British yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama. Apabila British terdesak untuk melepaskan penguasaan ke atas tanah-tanah jajahan mereka, perkara utama yang menjadi persoalan ialah siapakah selain bangsa pribumi yang berhak mendapat hak kerakyatan, bangsa manakah yang akan menerajui pemerintahan negara baru itu, dan apakah bentuk negara yang mahu dibina.
Kecuali di Myanmar, negara-negara ini memilih model politik perkongsian kuasa antara kaum. Di Sri Lanka, etnik Sinhalis dan Tamil bersetuju untuk berkongsi kuasa. Namun, persetujuan untuk berkongsi kuasa sahaja tidak menjamin keamanan dan kestabilan politik yang berkekalan. Perbalahan kaum tercetus di Sri Lanka selama beberapa dekad selepas merdeka, sehingga membawa kepada rusuhan, perang saudara, kemusnahan dan kemunduran.
Di Fiji, etnik imigran yang ibu bapa mereka berhijrah ke negara itu semasa penjajahan British telah diberikan hak kerakyatan apabila Fiji mencapai kemerdekaan pada tahun 1970. Dengan hak kerakyatan, mereka juga mempunyai hak yang sama dengan Bumiputera Fiji untuk terlibat dalam politik dan ekonomi. Malangnya, kerana tidak ada usaha untuk meratakan padang permainan, Bumiputera Fiji yang lebih mundur memberontak sehingga menyebabkan perbalahan dan rampasan kuasa.
Lebih malang di Myanmar, etnik minoriti Rohingya yang berhijrah ke negara itu semasa penjajahan British tidak diberikan hak kerakyatan langsung. Tanpa hak kerakyatan, mereka tidak mempunyai hak untuk terlibat dalam politik, apatah lagi untuk berkongsi kuasa dengan kaum majoriti.
Walaupun Myanmar telah merdeka selama 64 tahun, etnik Rohingya yang beragama Islam dilayan dengan begitu teruk sekali. Mereka tidak dibenarkan bekerja dengan kerajaan dan anak-anak mereka dihalang daripada bersekolah di sekolah kerajaan. Hatta untuk mendapatkan rawatan di hospital pun mereka menghadapi kesukaran. Tidak cukup dengan itu, rumah-rumah mereka dibakar, tanah-tanah mereka dirampas dan keluarga mereka dihalau keluar dari bumi Myanmar. Bagi orang Rohingya, bumi yang mereka pijak ibarat neraka dunia.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
KEBIJAKSANAAN POLITIK UMNO: MUAFAKAT UNTUK BERKONGSI KUASA
Alhamdulillah, kita di Malaysia tidak mengalami krisis politik dan perkauman yang parah seperti yang dialami di negara-negara lain, walaupun kita mempunyai lebih banyak bangsa, kaum dan suku kaum. Negara kita dipagari daripada malapetaka besar yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Dengan izin Allah s.w.t kita dapat hidup dalam suasana yang aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.
Kesemua ini pastinya tidak terjadi dengan sendiri. Sudah tentulah ada sebab musabab yang menjadikan negara kita kekal aman, makmur dan sejahtera. Sebab yang utama ialah kebijaksanaan pemimpin kita terdahulu memilih acuan politik perkongsian kuasa yang berteraskan semangat persefahaman, pemuafakatan, setiakawan dan tolak ansur antara parti-parti politik yang mewakili pelbagai kaum sewaktu itu, iaitu UMNO, MCA dan MIC. Apabila Barisan Nasional dibentuk pada tahun 1974, muafakat kita semakin kukuh dengan lebih banyak parti-parti yang mewakili pelbagai etnik dan suku kaum bergabung, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Sepanjang lima dekad pemerintahan Barisan Nasional, muafakat yang dicapai untuk memerintah negara secara bersama tidak pernah kita ingkari. Janji untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip ini sentiasa kita pupuk dan suburkan, dan kini menjadi pasak kekuatan Barisan Nasional.
Alhamdulillah, meskipun ada kalanya kita diduga dengan pelbagai cabaran dan tuntutan, meja rundingan Barisan Nasional sentiasa dapat menawarkan penyelesaian kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan semua kaum. Kerana itu Malaysia kekal aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.
Meskipun begitu, bagi puak yang keras dan melampau dalam pemikiran dan tindakan politik, mereka sentiasa mengapi-apikan semangat perkauman dan agama yang sempit bagi menagih laba politik. PAS sebagai contoh pernah menuduh UMNO sebagai parti sekular, parti taghut, parti mustakbirin, parti fir’aun, parti kafir semata-mata kerana kita bekerjasama dengan rakan-rakan bukan Islam dalam Barisan Nasional.
Begitu juga dengan MCA, MIC dan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional. Apabila mereka menerima pendirian UMNO dalam perkara yang berkait dengan kepentingan orang Melayu, DAP dengan cepat menuduh mereka sebagai parti yang lemah, atau parti pak turut yang sanggup menggadai kepentingan kaum bukan Melayu, semata-mata untuk mengecap nikmat kuasa bersama UMNO. Malah, DAP menuduh UMNO sebagai parti rasis dan parti ultra-Melayu, semata-mata untuk membangkitkan kebencian orang bukan Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
Sebenarnya saudara-saudari, PAS dan DAP berbuat begitu semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti mereka. PAS menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut orang Melayu membenci UMNO dan menyokong mereka.
DAP pula menggunakan sentimen perkauman yang melampau untuk menghasut orang bukan Melayu membenci MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional, supaya orang bukan Melayu menyokong mereka. Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud dan politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita.
Hakikatnya, sejak lebih lima dekad yang lalu, parti yang membawa fahaman politik benci dan fitnah, yang membakar sentimen agama dan perkauman bukannya UMNO, bukannya MCA, bukannya MIC, bukan juga parti-parti komponen BN yang lain. Sebaliknya ia didalangi oleh PAS dan DAP. Merekalah yang mengamalkan politik ultra perkauman dan membawa fahaman songsang mengenai agama yang memecah belahkan masyarakat kita. Kononnya undi PAS masuk syurga, sembelihan orang UMNO tidak halal, solat berimamkan orang UMNO tidak sah. Malah, mereka sanggup mendoakan kehancuran bagi orang UMNO yang merupakan saudara seagama mereka.
Merekalah yang menyuburkan syak wasangka, merekalah yang membarakan api fitnah, dan mereka jugalah yang membaja benih-benih kebencian.
Sutera dilipat habis dicuci
Tersimpul kemas di dalam laci
Kalau hati berkarat benci
Terpacul di mulut nista dan caci
Tersimpul kemas di dalam laci
Kalau hati berkarat benci
Terpacul di mulut nista dan caci
Seterusnya KLIK SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan