AES

Sistem AES
SHAH ALAM –  Pemuda Umno hari ini sebulat suara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga kajian menyeluruh dilakukan.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet  minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), menerusi Twitternya petang ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beliau dipetik Bernama berkata, kajian semula itu perlu bagi mengatasi kelemahan pada pelan pelaksanaan AES sekarang dan memastikan sistem itu mampu berfungsi sempurna mengesan pesalah trafik di negara ini.
"Sistem AES itu sendiri merupakan sistem amat baik, namun hasil maklum balas
akar umbi kami dapati terlalu banyak kelemahan pada pelan pelaksanaan AES yang perlu diatasi antaranya lokasi dan had laju praktikal bagi sesebuah kawasan,” katanya.
Khairy berkata kerajaan juga perlu mengadakan publisiti dan pendidikan umum
bagi memberikan informasi yang lebih jelas kepada rakyat. 
"Adalah penting untuk rakyat memahami dengan jelas sistem AES ini kerana ia
mampu menyelamatkan nyawa mereka selain mengelakkan AES menjadi 'alat mainan' pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda.