Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak melihat klip video kiosk-kiosk setempat dalam UTC pada majlis pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di Ipoh, hari ini. - Foto Bernama
IPOH -  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan dua inisiatif kerajaan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan dan membantu golongan muda memulakan perniagaan.
Inisiatif itu ialah pelaksanaan program Karisma Hati Rakyat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membabitkan peruntukan kerajaan RM50 juta dan Dana Usahawan Muda yang juga berjumlah RM50 juta dikendalikan SME Bank.
Di bawah program Karisma Hati Rakyat yang akan memberi faedah kepada 200,000 penerima, baucar RM200 akan diberikan kepada setiap penerima yang layak di Semenanjung manakala RM300 untuk penerima di Sabah dan Sarawak secara "one-off" atau sekali sahaja.
"Baucar ini akan diberi kepada mereka yang layak iaitu yang memerlukan bantuan sekolah, barangan dapur serta keperluan khas seperti kerusi roda," kata Najib ketika melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak di sini.
Perdana Menteri berkata baucar tersebut perlu ditebus segera sebelum 31 Mac ini.
Mengenai Dana Usahawan Muda, Najib berkata ia adalah untuk membantu golongan belia berumur 30 tahun ke bawah dalam bidang keusahawanan untuk memulakan perniagaan.
"Ini akan menjana lebih ramai usahawan berjaya di kalangan orang muda," katanya.
Memperincikan butiran Dana Usahawan Muda itu, Pengarah Urusan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata dana berjumlah RM50 juta itu akan menyediakan pembiayaan bermula daripada RM50,000 sehingga RM100,000 kepada setiap peminjam dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun termasuk maksimum setahun tempoh kelonggaran.
"Mereka yang diberi pinjaman perlu mengikuti kursus keusahawanan selama empat hari yang dikendalikan SME Bank," katanya kepada pemberita selepas Najib melancarkan dana itu di Lot SME Bank di UTC Perak.
Mohd Radzif berkata antara kelayakan pemohon pinjaman adalah belia Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun yang memiliki perniagaan serta memiliki kelayakan minimum Sijil Keusahawanan/Sijil Vokasional.
Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan baucar bantuan khas dan Dana Usahawan Muda itu dalam Belanjawan 2013. - Bernama