SGB

SGB
Suara Generasi Baru

Pengikut Teman

Isnin, 30 September 2013

Eksklusif @ AKjr : 'Kerja saya dalam Pemuda belum selesai' @khairykj


                                     'Kerja saya dalam Pemuda  belum selesai'
                                                             Khairy Jamaluddin
Pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan 12 Oktober ini juga menarik perhatian ramai kerana penyertaan begitu ramai calon. Selain Khairy Jamaluddin, yang akan mempertahankan jawatan, ada empat lagi mendaftar sebagai calon, Sabtu minggu lalu. Mereka terdiri daripada Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman, Abd Karim Ali dan Irwan Ambak Khalid Izhar. Bagi Khairy, soal sesiapa juga yang bertanding tidak mendatangkan masalah kepadanya, lagipun beliau antara pemimpin yang menyokong pindaan Perlembagaan UMNO yang membolehkan ahli bertanding atas semangat keterbukaan dalam parti. 

Dalam temubual baru-baru ini, Khairy membuat perbandingan mengenai zaman beliau bertanding ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden UMNO dan secara bersendirian sekarang. Ikuti temubual wartawan BH, Razak Rashid Ghows dengan beliau. 
Wartawan: Kenapa saudara menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda dan tidak bertanding jawatan lebih tinggi? 

Khairy:
 Saya melihat kerja saya dalam Pemuda UMNO masih lagi belum selesai. Saya sudah meletakkan fasa pertama ketika menjadi Ketua Pemuda di mana kita beri tumpuan kepada langkah menstrukturkan semula Pemuda UMNO. Tujuannya bagi menjadikan Pemuda badan yang fokus kepada masalah orang muda dan penyelesaian seperti isu pekerjaan, pendidikan, perumahan, iaitu lebih berorientasikan isu berbanding dulu. Sebelum ini ia lebih retorik politik, sekarang lebih kepada penyelesaian. Fasa kedua bagi memastikan perubahan ini dapat diinstitusikan melalui program pendidikan politik baru di mana kita mahu lahir ramai lagi pelapis yang mempunyai pandangan moden dalam politik di mana perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air tetap menjadi teras kita. Ahli politik dan pemimpin politik muda yang memahami cabaran yang dibawa politik baru, soal isu tadbir urus yang baik, hak asasi manusia, hubungan kaum dan sebagainya supaya kita dapat kembalikan sokongan orang muda kepada Barisan Nasional (BN) dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia. 


S: Apakah itu bermakna saudara tidak berpuas hati dengan pencapaian Pemuda UMNO sejak mengambil alih jawatan itu pada 2009? 

J:
 Saya puas hati dengan pencapaian setakat ini, cuma kita kena melanjutkan prestasi kita. Kita kena pastikan apa yang kita dapat buat selama ini dapat ditanamkan ke akar umbi. Ada pelbagai cabaran untuk kita gerakkan Pemuda dari segi pentadbiran, dari segi semangat ahli. Kita kena beri tumpuan lebih kepada soal kepemimpinan. Bila kepemimpinan pada peringkat bahagian itu kuat dan punyai idealisme tinggi, kita dapat lahirkan lebih ramai pemimpin berkaliber peringkat bahagian dan kita dapat meningkatkan prestasi keseluruhan. Saya menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebab penggal pertama, saya tidak ada jawatan dalam kerajaan. Penggal kedua sudah dapat amanah menjaga Kementerian Belia dan Sukan. Saya nampak kita boleh bawa agenda ini bersama di mana saya jaga belia negara dan juga Pemuda dalam UMNO itu sendiri. Kekuatan itu saya akan guna untuk tingkatkan lagi prestasi Pemuda UMNO. 

S: Ke mana hala tuju Pemuda UMNO yang saudara akan bawa atau agenda Pemuda UMNO selepas ini sekiranya terpilih semula? 

J: 
Agenda saya ialah untuk menjadi tempat pertemuan atau ‘interface’ utama bagi UMNO dan generasi muda. Kita tahu bahawa generasi muda menjadi kuasa besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan juga akan menjadi kuasa besar dalam PRU-14. Kaji selidik yang dibuat oleh Merdeka Centre menunjukkan pengundi muda Melayu antara umur 21 hingga 30 tahun, kira-kira 54 peratus menyokong BN pada pilihan raya lalu. Itu petanda baik bagi kita, tetapi pengundi muda daripada kaum lain tak berapa menyokong BN. Itu cabaran untuk kita, macam mana UMNO boleh memainkan peranan bagi meningkatkan sokongan daripada orang muda Melayu dan macam mana boleh bantu BN untuk cuba meyakinkan yang lain juga. Jadi hala tuju saya masih lagi ‘politikal’, macam mana untuk bawa undi pada pilihan raya akan datang. 


S: Ternyata saudara sudah melalui pelbagai dugaan dan jatuh bangun dalam politik. Bagaimana saudara melihat peluang kali ini? 

J:
 Setiap kali bertanding saya serah kepada perwakilan atau pengundi, cuma kita boleh buat yang terbaik dengan menawarkan idea atau wawasan yang jelas. Yang selebihnya kita serah kepada perwakilan. Saya menang pada 2009 dalam keadaan yang susah. Waktu itu orang kata menantu Presiden UMNO dan sebagainya, tetapi presiden yang hendak keluar, Pak Lah (Abdullah) pada waktu itu hendak meletak jawatan. Jadi ia tidak beri apa-apa kelebihan kepada saya. Tapi dalam keadaan itu masih lagi boleh menang, lawan bekas menteri besar, lawan seorang yang ada nama besar dalam UMNO tetapi dapat mengatasinya, Alhamdulillah berkat sokongan daripada kawan-kawan. Jadi kali ini pun saya buat yang sama, bukannya saya mahu kekalkan jawatan ini untuk diri saya, tetapi saya menjawab panggilan perjuangan. Jadi saya serah kepada perwakilan sebab saya sudah tahu jatuh bangun dalam politik, peritnya bila kita jatuh, apa perasaannya selama empat tahun. Saya tidak tahu peluang saya macam mana dan saya serah pada budi bicara perwakilan. Saya yakin perwakilan boleh menilai sebab nak jaga Pemuda dengan keahlian hampir 650,000 dan jaga pentadbiran bukan perkara senang. Kita menghormati setiap calon yang menawarkan diri, tetapi kalau tak ada pengalaman jadi Ketua Pemuda bahagian atau cawangan, macam mana nak jaga organisasi nasional yang ada 650,000 ahli. 


S: Dulu saudara bertanding dalam bayangan ‘Perdana Menteri’, kali ini bertanding sebagai Khairy Jamaluddin tanpa bapa mentua. Kini saudara menghadapinya bersendirian? 

J:
 Saya tidak melihatnya sebagai masalah sebab pemilihan lepas pun tidak bawa apa-apa kelebihan kepada saya (sebagai menantu Perdana Menteri). Sebabnya, pada pemilihan lalu beliau adalah Perdana Menteri yang akan melepaskan jawatan, presiden yang akan melepaskan jawatan, jadi tak ada apa-apa pengaruh pada saya. 


S: Persepsi orang ramai mungkin lain, saudara dikaitkan dengan Perdana Menteri? 

J: 
Mungkin persepsi itu membawa masalah kepada saya pada waktu dan ketika itu. Kali ini bila tidak ada apa-apa kaitan dan saya bertanding atas diri saya sendiri, mungkin mereka boleh nilai. Selama empat tahun saya menjadi Ahli Parlimen biasa dan penyokong kerajaan, sering kali berentap dengan pembangkang, bawa Pemuda UMNO selama empat tahun tanpa apa-apa jawatan, tetapi masih lagi bertahan. Ramai yang kata dia tidak akan sampai satu tahun bawa Pemuda UMNO dan akan mengaku kalah dan ada orang yang akan buat undi tidak percaya. Dalam keadaan ini, saya dapat bertahan selama empat tahun, Alhamdulillah saya diberi rezeki ini dan saya harap dapat gunakan rezeki ini untuk bantu Pemuda supaya lebih baik lagi. 


S: Cara saudara dan beberapa orang dalam Pemuda atau UMNO sendiri berlainan daripada orang lama, khususnya dari segi pemikiran. Saudara lebih terbuka dan kerap kali dilihat sebagai menentang arus. Bagaimana saudara boleh menyesuaikan diri dan mengimbangi antara lama dan baru? 

J:
 Apabila kita menyahut agenda transformasi Presiden parti yang juga Perdana Menteri, kita kena buktikan melalui pemikiran baru. Itu yang dituntut oleh transformasi. Kalau kita cakap soal transformasi tetapi tidak bawa transformasi dalam pemikiran, kita tidak akan bawa apa-apa perubahan. Yang penting walaupun pemikiran saya kadangkalanya berbeza dengan pemimpin lain lebih senior, penghormatan itu tetap ada dan kita akan bertemu dengan mereka. Saya selalu suka berbincang dengan pemimpin lebih senior, dalam kalangan menteri dan menteri besar, saya akan jelaskan pandangan daripada generasi saya. Bukan bermaksud kita nak lari daripada perjuangan asal UMNO nak bantu Melayu dan pastikan agama dan bangsa pelihara. Itu tetap mesti ada, tetapi soal politik baru yang saya sebutkan tadi, urus tadbir baik, pemikiran lebih terbuka, termasuk kepada kebebasan bersuara dan sebagainya, itu kita kena jelaskan. Ini tuntutan generasi saya, mungkin bukan generasi anda, tetapi generasi kami. Saya melihat diri saya sebagai pembawa obor generasi saya seperti mana mereka satu ketika dulu bawa aspirasi generasi mereka. Saya nampak penghormatan itu ada, tiada masalah. 


S: Dalam pemilihan ini, ada empat calon lain akan mencabar saudara. 

J:
 Saya terbuka sebab sistem kita yang sama-sama pinda empat tahun lalu (2009) yang mahu menunjukkan kepada rakyat bahawa UMNO adalah parti yang terbuka. Kita buka kepada perwakilan di peringkat bahagian untuk memilih jawatan tertinggi dalam UMNO. Yang kedua, kita buka seluas-luasnya, dengan sedikit syarat kepada ahli kita untuk bertanding, hatta jawatan tertinggi dalam parti. Bila sudah buat pindaan itu, takkanlah sebagai antara pemimpin yang menyokong pindaan itu, saya nak kata oh tak boleh bertanding lawan saya. Bila ada orang nak bertanding Ketua Pemuda kita mengalu-alukan atas semangat keterbukaan dalam parti. Tetapi bagi saya untuk perwakilan, dia kena fikir sedalam-dalamnya, ini bukan pesta populariti sekelip mata saja. Ini adalah soal masa depan parti, mesti bertanggungjawab. 


S: Bagaimana pandangan saudara berhubung kesediaan Datuk Mukhriz Mahathir untuk bertanding jawatan Naib Presiden? 

J:
 Beliau adalah seorang pemimpin generasi muda dalam parti kita yang ada masa depan cerah dan berjaya menjadi Menteri Besar Kedah. Kita berharap beliau dapat membangunkan Kedah dengan baik dan kekalkan kekuasaan BN di Kedah. Soal dia nak bertanding jawatan apapun dalam parti, terpulang kepada dia sebab dalam semangat keterbukaan, kita tidak boleh halang. Kita perlu semua pemimpin memainkan peranan dalam UMNO. Saya tidak mahu lihat pemimpin kita bergaduh sampai kita kerugian seorang pemimpin yang boleh membantu pasukan UMNO. 


S: Andainya masa depan ini adalah hak anda dan Mukhriz sebagai pelapis, boleh saudara bekerja sebagai satu pasukan? 

J:
 Saya tidak ada masalah, kita pernah bekerja sebagai satu pasukan ketika saya menjadi Naib Ketua dan beliau EXCO Pemuda UMNO. Saya sudah kenal beliau begitu lama. Saya rasa dalam UMNO, saya antara orang yang kenal beliau paling lama sejak umur saya enam tahun lagi. Dia lebih tua daripada saya 11 tahun dan saya kenal dia daripada kecil lagi. Jadi saya tidak ada masalah dengan dia, untuk kebaikan parti. 


S: Apa pandangan saudara mengenai sistem baru pemilihan UMNO ini? 

J: 
Tiada siapapun tahu sebab kali pertama nak buat. Insya-Allah saya berharap tiada pertikaian sebab kita semua bersetuju dengannya. Saya harap ia berjalan lancar. 


S: Terdapat banyak seruan, saranan, gesaan daripada banyak pihak termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri yang mahu golongan muda diberi laluan untuk mengambil alih kepemimpinan UMNO di semua peringkat. 

J:
 Itu saranan yang baik dan sebagai Ketua Pemuda takkan saya tak sokong saranan itu. Saya nak melihat lebih ramai lagi orang muda diberi tempat. Tetapi yang penting ialah kombinasi yang baik. Kita perlu juga yang berpengalaman, sebab itu Pemuda UMNO kita tawar empat orang untuk bertanding dalam Majlis Tertinggi (MT). Saya harap mereka dapat tempat dalam MT. Kita nak tunjuk bahawa proses peremajaan dalam UMNO bukan hanya terhad pada Pemuda dan Puteri, tetapi juga dalam arus perdana, parti induk dan kalangan orang dewasa ada kepemimpinan orang muda. 


S: Mengenai Wanita UMNO pula, bagaimana saudara melihat tindakan kompromi Datuk Seri Azalina Othman dalam perebutan jawatan Ketua Wanita? 

J: 
Saya lihat mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Sekiranya Azalina bertembung dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, kita akan kehilangan salah satu daripada dua orang itu. Saya lihat Shahrizat masih lagi kuat dalam Wanita dan Azalina mungkin tidak berjaya. Kita akan kerugian sebenarnya sebab Azalina adalah pemimpin yang ada bakat dan masa depan. Dengan kompromi, kita dapat kekalkan kedua-duanya, sudah tentunya lebih baik untuk kita. Shahrizat akan terus jadi Ketua Wanita, kestabilan pada Wanita UMNO dan dapat menyediakan Azalina untuk ambil alih kepemimpinan Wanita satu hari nanti. 


S: Apa pandangan saudara mengenai penyertaan orang lama dalam pemilihan ini? 

J: 
Itu keputusan mereka dan mesti dihormati. Prinsip sekarang ialah keterbukaan, sesiapapun boleh menawarkan diri. Yang penting perwakilan perlu pilih dengan bijak siapa akan menjadi wajah UMNO empat lima tahun akan datang apabila kita berdepan dengan rakyat. 


S: Apa pandangan saudara mengenai UMNO selepas pemilihan ini? 

J:
 Selepas pemilihan kita kena bersatu semula dan rapatkan barisan. Sudah pasti dalam pemilihan, walaupun dalam semangat kekeluargaan, mesti ada yang terguris, terasa dan terpinggir apabila kalah. Kita kena fokus balik pada usaha PRU-14, itu penting. Ini soal hidup mati UMNO. Pemilihan UMNO ini adalah untuk kita pilih wajah UMNO yang akan berdepan dengan rakyat. Pilihlah mereka yang diterima oleh rakyat dan ahli, jangan kita pilih hanya mereka yang popular dalam kalangan ahli, malah mereka mesti diterima rakyat. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan